Thursday, January 13, 2011

'Sakti Delima' : Watak Tahyul Iqram Jadi Punca - Pengerusi LPFM

Khamis Januari 13, 2011

Datuk Mohd Hussain Shafie

PETALING JAYA: Drama bersiri Sakti Delima dilarang penyiarannya adalah disebabkan watak Iqram Dinzly sebagai Nur Firdaus Kencana mengamalkan perbuatan syirik, satu penonjolan salah mengikut garis panduan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM).

Pengerusinya, Datuk Mohd Hussain Shafie berkata, sesebuah kisah dongeng tidak boleh dikaitkan dengan agama sebaliknya drama berkenaan memaparkan tema sebegitu.

Katanya persoalan mula timbul apabila Iqram membawa watak yang bertentangan dengan hukum-hakam agama sedangkan dia digambarkan sebagai seorang Islam dalam drama tersebut.

"Saya agak terkejut apabila menonton drama itu pada episod keempat di televisyen apabila melihat Iqram berlakon menjadi burung pada waktu siang dan malam pula menjadi manusia.

"Kemudian, ada pula watak mengenai kepercayaan tentang kalung dan azimat. Orang Islam tidak boleh percaya dengan semua itu dan ia syirik. Ini dah jadi lain.

Iqram Dinzly

"Sebab itu saya meminta pihak TV3 memberi kesemua 20 episod pita rakaman untuk ditapis semula kerana sebelum ini pihak kami hanya menerima beberapa pita sahaja daripada TV3 sebelum meluluskan drama tersebut.

"Dan ingin saya jelaskan bahawa kami bukannya melarang terus daripada menyiarkan drama tersebut, cuma drama itu perlu ditapis semula," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

Tambah Hussain, setakat ini dia belum lagi membuat keputusan sampai bilakah larangan penangguhan itu akan berkuatkuasa ataupun melarang terus penyiarannya.

Ini kerana pihaknya baru menerima sembilan episod pita berkenaan daripada TV3.

Kontroversi mengenai drama tersebut tercetus apabila LPFM mengarahkan TV3 untuk memberhentikan tayangan drama terbitan J.S Pictures itu pada 10 Januari lalu yang dikatakan mempunyai unsur-unsur syirik dan tahyul.

Sheila Rusly

Penerbitnya, Shiela Rusly mempersoalkan LPFM sebab penyiaran drama tersebut dihentikan seketika sedangkan ia merupakan 30 peratus adaptasi daripada filem Pancha Delima yang pernah dilakonkan oleh Tan Sri Jins Shamsuddin dan Saadiah pada tahun 1957.

Filem itu mengisahkan tentang kesaktian seutas kalung yang menjadi rebutan ramai.

Bagaimanapun menurut Hussain, Pancha Delima tidak dilarang siarannya kerana ia sebuah kisah dongeng yang mana jalan ceritanya tidak dikaitkan dengan agama Islam.

"Sebenarnya drama ini boleh ditayangkan jika ia dibuat seperti sebuah kisah dongeng. Tetapi lain pula jadinya apabila ia mengaitkan agama Islam, itu yang membuatkan cerita itu menjadi tahyul dan syirik.

"Contohnya seperti drama Arjuna, apabila tangan salah satu watak drama ini mengeluarkan api. Ia diluluskan kerana drama tersebut tidak menunjukkan watak tersebut adalah seorang yang beragama Islam.

"Begitu juga dengan drama bersiri Indonesia, Si cantik Dan Si Buruk Rupa, yang masih ditayangkan di TV3, ia berkisah mengenai cerita epik Hindu pada zaman dahulu. Kalau kisah-kisah sebegini, ia bukanlah satu masalah buat pihak LPFM.

"Cuma jangan babitkan drama kisah dongeng dengan agama Islam," katanya yang meminta Shiela atau penerbit-penerbit lain berjumpa dengannya untuk mendapatkan penjelasan secara mendalam mengenai penerbitan drama berkonsepkan kisah dongeng.

TV3 dalam satu kenyataannya Isnin lalu berkata, pihaknya telah menghantar 20 pita drama berkenaan kepada LPFM untuk dibuat pemantauan.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2011/1/13/mstar_hiburan/20110112181548&sec=mstar_hiburan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...