Thursday, January 13, 2011

RMT: Kerajaan nafi hak pelajar miskin

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Jan: Tindakan Kementerian Pelajaran mengarahkan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk murid miskin dihentikan serta merta adalah suatu yang sangat mengecewakan.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan at-Tantawi berkata, malah ianya dilihat sangat bertentangan dengan slogan kerajaan Umno dan BN kononnya ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’.

Ini, katanya merujuk kepada pekeliling Kementerian Pelajaran Malaysia [KPM] 29/12/2010 No: KP (Bkew/BT)1910/RMT/A5, Jld.5(97) yang mengarahkan agar RMT ditamatkan serta merta atau selewat-lewatnya 12 Januari (semalam).

“Ini dilihat akan memberi kesan kepada ribuan pelajar miskin yang berada di bawah Rancangan Makanan Tambahan tersebut,” ujarnya.

Beliau mempertikaikan langkah Kementerian Pelajaran itu kerana bukan sahaja menafikan hak pelajar miskin mendapat bantuan kerajaan tetapi juga akan menjejaskan tumpuan mereka kepada pelajaran dan sekaligus menjejaskan masa depan mereka.

Katanya, jika kerajaan boleh memberi pelbagai skim galakan kepada sektor-sektor lain serta peruntukan yang wajar kenapa kerajaan sanggup korbankan pelajar-pelajar miskin.

“Apakah kerajaan kini sedang kesempitan dana?

“Bukankah kerajaan telah menguar-uarkan kononnya negara mengalami pertumbuhan ekonomi yang baik? soalnya.

Justeru, tambahnya rakyat memerlukan penjelasan yang wajar daripada kerajaan berhubung perkara itu.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30322:rmt-kerajaan-nafi-hak-pelajar-miskin&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...