KUALA LUMPUR, 13 Jan: Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah bersetuju untuk melakukan program pemutihan pendatang tanpa izin (Pati) mulai pertengahan Januari 2011 ini.
"Pemerintah Malaysia sudah buka pemutihan, tapi hanya melalui perusahaan Pangkal Rezki dengan biaya 600 ringgit," kata Atase Ketenagakerjaan Kedutaan Besar Republik Indonesia untuk Malaysia, Agus Trianto AS sebagaimana yang dialaporkan oleh laman Antara di Kuala Lumpur, Selasa 11 Januari 2011.
Pengumuman yang sememangnya dinantikan oleh Indonesia ini datang selepas satu badan yang menjaga kepentingan tenaga kerja Indonesia (TKI) menguruskan penafian seorang pembantu rumah Indonesia bahawa dia tidak pernah dirogol oleh majikannya di Malaysia.
Bagaimanapun, berita ini menimbulkan tandatanya kepada pejuang hak pekerja Indonesia di Malaysia kerana disyaratkan ianya boleh dilakukan melalui satu syarikat sahaja iaitu Pangkal Rezki Sdn Bhd.
Dalam facebooknya, Alex Ong, koordinator negara Malaysia untuk Migrant Care, sebuah NGO Indonesia yang memperjuangkan kepentingan TKI menimbulkan persoalan ini.
"Musim pemutihan TKI tanpa izin; biaya RM600, sekali lagi Pangkal Razki Sdn Bhd diberi hak monopoli untuk memeras RM200 per TKI dari TKI tanpa izin! Bayaran resmi ialah RM400 kepada Jabatan Imigresen Malaysia," tulis Alex dalam facebooknya.
Beliau juga mempertikaikan peranan Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BNP2TKI) dalam kes ini kerana badan inilah yang menguruskan penafian pembantu rumah Indonesia yang didakwa diperkosa oleh majikannya di Malaysia itu.
"Apa peranan BNP2TKI dalam perlindungan eksploitasi Pangkal Razki Sdn. Bhd. Dari mengambil untung RM200 per TKI?" tulis Alex dalam facebooknya.
Harakahdaily dimaklumkan, daripada RM600 yang dicajkan kepada TKI yang mahu dikembalikan dengan baik ke Indonesia itu, RM200 untuk Pangkal Rezki, RM100 untuk pengurusan dan RM300 lagi untuk Imigresen.
Soalnya, kenapa proses pemutihan ini tidak diuruskan secara langsung kepada pihak Imigresen iaitu agensi kerajaan yang sah dalam pengurusan keluar masuk ke negara ini dan siapakah pemilik Pangkal Rezki Sdn Bhd yang mendapat hak monopoli menguruskan proses pemutihan ini.
Menurut media Indonesia, Tempo, beberapa bulan sebelumnya sudah ada maklumat KDN akan melakukan pemutihan ini, "namun pada saat itu informasinya masih simpang siur sehingga masyarakat terus menantikan kepastian tersebut."
"Dengan adanya informasi tersebut, tentu akan banyak direspon masyarakat Indonesia yang ingin memperoleh pemutihan tersebut," lapor Tempo.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30324:kdn-setuju-pemutihan-tki-tetapi-kenapa-pangkal-rezki&catid=1:utama&Itemid=50
No comments:
Post a Comment