Thursday, January 13, 2011

Kakak, adik turut jadi mangsa

JOHOR BAHRU: Ketiga-tiga beradik termasuk Nur Dania Qistina, 3, yang maut selepas mengalami pendarahan dalaman di paru-paru dipercayai menjadi mangsa penderaan fizikal di rumah ibu tiri mereka di Kampung Sungai Tiram di sini, sejak tiga bulan lalu.

Ia berikutan, kakak mangsa, Nur Diana Batrisha, 5, dan adik lelakinya, Danish Irsyad, berusia setahun, yang kini menjalani rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) didapati mempunyai kesan penderaan fizikal di anggota badan.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai berkata, ketiga-tiga kanak-kanak itu dipercayai menjadi mangsa penderaan selepas dilarikan bapanya daripada kediaman datuk dan nenek di Tenggaroh, Mersing.

Menurutnya, biarpun ibu kanak-kanak berkenaan yang bekerja sebagai kerani akaun di Pasir Gudang berusaha mengesan mereka, tempat tinggal bekas suaminya itu dirahsiakan hingga perkara itu mengundang masalah tidak diingini.


“Dua adik-beradik mangsa dapat diselamatkan termasuk anak sulung kini tinggal bersama ibunya, Nur Aquilla Razali, 27. “Manakala adik bongsu mangsa masih menerima rawatan di HSA berikutan kesan lebam pada muka, belakang telinga dan punggung selain demam ditemani oleh ibu saudaranya.


“Setakat ini, imbasan X-Ray menunjukkan Danish tidak mengalami sebarang kecederaan seperti patah tulang,” katanya.

Robia berkata, pihaknya juga menasihatkan keluarga mangsa supaya membawa anak sulung untuk melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital memandangkan kanak-kanak itu juga didapati mengalami kesan lebam dan bengkak di beberapa anggota badan. “Dari pandangan luaran kedua-dua mereka mempunyai pertumbuhan normal mengikut usia masing-masing...namun kita perlu menunggu laporan perubatan keseluruhan doktor.


“Kedua-dua beradik itu lebih sesuai tinggal bersama ibu kandung mereka selepas ini,” katanya ketika mengunjungi Danish di wad kanak-kanak di HSA di sini, semalam.

Robia bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenggaroh, T Murukasvary turut melawat keluarga mangsa di Felda Tenggaroh 6, dekat Mersing di sini, pagi semalam dan menyampaikan sejumlah sumbangan wang tunai.


Sementara itu, Aquilla berkata, dia terkilan dengan kejadian menimpa arwah Dania kerana kanak-kanak itu adalah seorang yang mudah mesra dan manja.


Menurutnya, bagi mengelakkan kedua-dua anaknya mengalami nasib sama, dia berusaha menuntut hak penjagaan daripada suaminya di mahkamah secepat mungkin.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kakak_adikturutjadimangsa/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...