Sehubungan itu, menurut Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad, beliau hairan dengan kenyataan Najib yang mendakwa program 100 hari Pakatan Rakyat akan menyaksikan generasi akan datang merana kerana tidak ada kemampuan kewangan.
“Soalnya, apakah salah apabila Pakatan Rakyat mengemukakan rancangan untuk manfaat majoriti rakyat di samping menghapuskan Felda Plantation dan membuka ladang-ladang baru kepada generasi kedua dan ketiga.
“Salahkah Pakatan Rakyat hendak menyusun kembali tol yang dianggap sebagai penyebab bebanan terpaksa ditanggung oleh rakyat dengan peningkatan kos operasi?
Salahkan beri imbuhan?
“Salahkah Pakatan Rakyat untuk memberi imbuhan bulanan tambahan kepada guru RM500 sebulan?” soalnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Idris, Najib gusar dengan tindakan Pakatan Rakyat itu dan cuba menimbulkan keraguan tentang kemampuan kewangan jika janji 100 hari dilaksanakan.
Di bawah perancangan program 100 hari itu, Pakatan Rakyat antara lain akan memberikan imbuhan tambahan RM500 kepada para guru dan membekalkan subsidi lebih banyak untuk minyak dan gas memasak serta menstrukturkan sistem tol.
“PAS mengucap terima kasih kepada Najib kerana baru sedar tentang hal ini, kalau hendak belanja ukurlah kemampuan dahulu,” katanya sinis.
Beliau juga mempersoalkan adakah Najib sudah mengambil kira kemampuan kewangan negara ketika mencadangkan pembinaan Menara Warisan 100 tingkat.
Katanya, wang sebanyak RM5 bilion mampu membina 1,667 buah sekolah yang bernilai RM3 juta sebuah dan mampu membekalkan biasiswa pelajar perubatan seramai 5 ribu orang di United Kingdom dengan kos RM1 juta seorang. Wang itu juga mampu menampung biasiswa 10 ribu pelajar di fakulti perubatan di Mesir.
Idris juga mempersoalkan tindakan kerajaan persekutuan yang hanya memperuntukan RM178 juta untuk Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang boleh dimanfaatkan hampir 3 juta rakyat di tiga negeri atau hanya kira-kira 3.6 peratus daripada kos pembinaan Menara Warisan.
Pelik dan hairan
“Apakah peruntukan untuk PERMATA yang dikendalikan oleh Datin Seri Rosmah sebanyak RM111 juta tidak membazir, sedangkan untuk Sekolah Agama Rakyat RM95 juta?” soalnya lagi.
PAS, katanya merasa hairan dengan kenyataan seorang perdana menteri yang mendakwa ekonomi Malaysia akan terjerumus ke kancah penghancuran seperti Greece jika mengikut perancangan Pakatan.
Menurut Idris, BN menggunakan hujah yang sama ketika PAS memerintah di Kelantan pada tahun 1990 dan memperlekehkan parti Islam itu dengan dakwaan mereka hanya mampu memerintah selama tiga bulan sahaja.
Dakwaan BN-Umno itu, katanya hanya menurut kaca mata mereka yang penuh dengan rasuah, ketidak cekapan dan salah urus.
Begitu juga, tambahnya ketika kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memberi air percuma sebanyak 20 meter padu, pemimpin Umno mendakwa perbelanjaan itu satu bentuk pembaziran.
“Pendek kata untuk rakyat semuanya membazir, kerana bimbang apabila rakyat senang, BN tidak ada harapan untuk menjerat leher pengudi dalam setiap pilihan raya,” katanya.
Pakatan sebelum ini berkata dengan menangani hanya dua masalah - rasuah dan ketirisan serta memotong subsidi kepada pengeluar tenaga bebas (IPP) - Pakatan akan mampu menjimatkan negara RM51 bilion.
Justeru, menurut Idris, - Najib tidak perlu ragu dengan sumber yang bakal diperolehi untuk meneruskan program 100 hari berkenaan.
Semua membazir
“Antara sumbernya ialah kita akan memerangi rasuah yang menyebabkan wang negara hilang sebanyak RM28 bilion.
“Pakatan Rakyat tidak akan membuat Persidangan Wanita Pertama kendalian Datin Seri Rosmah selama tiga hari yang (menelan perbelanjaan) hampir RM4.5 juta,” katanya.
Idris berkata walaupun sumber terhad, namun PAS berkeyakinan janji 100 hari, Pakatan Rakyat mampu dilaksanakan. Ini berdasarkan pengalamanya di Kelantan yang mementingkan kebajikan rakyat.
“Keadaan berbeza apabila Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat yang mempunyai sumber kewangan yang lebih luas untuk dijanakan bagi manfaat rakyat,” katannya.
http://malaysiakini.com/news/153152
No comments:
Post a Comment