Thursday, January 13, 2011

Rais: Malaysia tiada cadangan haram Blackberry

Jan 10, 11 10:46pm

Malaysia tidak bercadang untuk mengharamkan penjualan dan penggunaan telefon mudah alih pintar Blackberry setakat ini kerana ia tidak ada menimbulkan masalah kepada soal keselamatan negara.

rais yatim pc 020709 02Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim, berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan menyiasat sekiranya ada sesiapa yang mempunyai fakta tertentu mengenai penyalahgunaan kemudahan itu.

"Sekiranya ada (apa-apa masalah mengenai penggunaan telefon itu) saya ingin menerimanya dari masyarakat Malaysia sendiri. Justeru tidak wajar bagi kami membuat keputusan yang tergesa gesa," katanya kepada pemberita selepas bertemu pengarah-pengarah Jabatan Kebudayaan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengulas laporan bahawa kerajaan Indonesia bercadang mengharamkan penggunaan Blackberry di negara berkenaan sekiranya aplikasi pornografi dan arahan untuk mewujudkan pelayan (server) di negara berkenaan tidak dipatuhi dalam tempoh dua minggu.

Rais berkata, kajian sudah dibuat sebelum ini oleh SKMM dan mendapati bahawa Malaysia tidak menghadapi masalah seperti yang dihadapi di Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan India sebelum ini.

NONENegara-negara itu mengharamkan penggunaan dan penjualan Blackberry kerana dikatakan mengancam keselamatan negara mereka.

Semua telefon mudah alih menggunakan "local provider" tetapi tidak bagi Blackberry yang mempunyai pelayan sendiri di negara ia dicipta iaitu Kanada.

Ditanya sama ada Malaysia akan meminta syarikat telekomunikasi berkenaan mewujudkan pelayan di negara ini, Rais berkata, ianya soal komersil dan harus ditimbangkan dalam konteks sama ada syarikat berkenaan menyalahi mana-mana peruntukan di bawah Akta Komunikasi.

"Setakat ini saya tidak dimaklumkan mengenai perlanggaran tersebut jadi tak wajar bagi kami mengatakan secara khusus apakah tindakan perlu diambil sedangkan laporan pun tidak ada," katanya.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/153034

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...