Perayaan yang disambut 14 Februari setiap tahun, diraikan di kafe-kafe, hotel-hotel atau tempat-tempat romantik, yang mana setiap pasangan memberikan hadiah berupa bungkusan coklat atau bunga kepada insan dikasihi. Kemudian, pelbagai bentuk pesta berisi hiburan seumpama nyanyian, tarian dan sebagainya diadakan muda-mudi terbabit.
Pendakwah Bebas, Ustaz Mohd Zaidi Ramli berkata, Hari Valentine bukan hari kebesaran dan kebudayaan umat Islam.
Menurutnya, Valentine tiada kaitan dengan Islam, oleh yang demikian, ia tidak sepatutnya menjadi sebutan dalam kalangan kita, kerana ia bukan tuntutan agama dan bukan juga adat budaya kita.
“Bagi penganut Kristian, mereka bebas untuk menyambut hari tersebut kerana ia sememangnya ajaran dan tuntutan ritual agama berkenaan. Kita tidak boleh menghalang mereka untuk menyambutnya, sama ada ia mendatangkan kebaikan atau sebaliknya itu adalah urusan mereka.
“Namun bagi orang Islam, kita menolak amalan ini bukan kerana kebencian atau permusuhan, tetapi ia bukan ajaran agama kita. Apatah lagi apabila Islam meletakkan garis pemisah dan dasar akidah yang jelas. Islam mahu umatnya mentauhidkan Allah dan menjalani kehidupan dengan sistemnya yang tersendiri disebut sebagai al-Din. Justeru umat Islam dengan penuh keimanan wajib mematuhinya,” katanya.
Bagi Islam, ujar Ustaz Zaidi, kehidupan bukan berakhir setakat di dunia. Kehidupan ini berterusan hingga ke alam akhirat. Dunia adalah ladang akhirat. Kita berladang di dunia berdasarkan akidah, ibadat dan akhlak Islam, kemudian menuainya dengan mendapatkan ganjaran pahala dan nikmat syurga yang berkekalan di akhirat kelak. Sekiranya kita berladang di dunia dengan perkara yang tidak dituntut oleh Allah, maka ia tidak akan dinilai di akhirat.
“Jika Hari Valentine itu bukan suatu tuntutan yang menghasilkan rahmat dan ganjaran syurga di akhirat kenapa pula kita kena menyambutnya? Apatah lagi jika ia bakal membawa derita yang berkekalan di dalam neraka, kenapa pula kita tidak berwaspada daripada terjebak dengannya?" tegas Ustaz Zaidi.
Hari Valentine lebih diingati
Mengulas tentang tarikh 14 Februari yang lebih diingati berbanding tarikh-tarikh kebesaran Islam lain, Ustaz Zaidi yang juga Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur berkata, pelbagai faktor mengakibatkan tarikh itu diingati sebahagian besar golongan remaja Islam.
“Sebagaimana disebut tadi, kita tidak menghalang rakan-rakan Kristian menyambut Hari Valentine kerana itu adalah amalan dalam kepercayaan mereka. Tetapi yang menghairankan, kenapa orang Islam pula berlebih-lebihan menyambutnya?
“Pada saya, faktor dalaman iaitu kelonggaran pegangan akidah Islamiah adalah faktor utama mengapa ramai lebih mengingati 14 Februari berbanding tarikh lain. Hakikatnya, akidah Islamiah bukan menghafal Rukun Iman dan Rukun Islam.
“Akidah Islamiah mewajibkan penghayatan dan keyakinan yang putus, tiada keraguan terhadapnya walau sehalus mana sekalipun. Ia menghunjam mantap di dalam jiwa, perlu diiringi dengan perlaksanaan; sama ada dalam bentuk melakukan suruhan syariat Islam atau meninggalkan yang dilarang serta berwaspada dengan batas dan garis sempadan disediakan. Umat Islam perlu tahu garis sempadan itu. Jangan sampai terkeluar sempadan," katanya.
Menurutnya, faktor luaran pula ialah promosi hebat yang dibuat terhadap sambutan tersebut, kadang-kadang sama hebat dengan perayaan-perayaan rasmi di Malaysia.
“Sebagai umat Islam, memang kita tidak digalakkan untuk menyambutnya. Haram namanya,” tegas beliau.
Berbicara lebih lanjut tentang topik ini, penulis melihat, sambutan hari kekasih bertambah hangat apabila ada sesetengah media massa teruja mengiklankan sambutan berkenaan. Malah, tidak terkecuali restoran, hotel dan kedai bunga mula mengambil tempat mempromosi sambutan Hari Valentine di premis perniagaan mereka.
Dalam konteks keterujaan media massa memaparkan sambutan hari kekasih, sepatutnya kita melihat dari pelbagai sudut.
Ustaz Zaidi berkata, apabila seseorang itu bercakap tentang media, dia sebenarnya bercakap tentang komunikasi. Komunikasi membabitkan dua pihak dan jalinan itu berlaku di antara media dan masyarakat.
“Media perlu mengakui bahawa mereka mempunyai peranan dan pengaruh luas. Kandungan, pengiklanan, kata-kata, gambar dan simbol dipaparkan memberikan kesan kepada pengguna media. Jika baik semua itu, baiklah kesannya kepada masyarakat, begitulah sebaliknya,” ujarnya.
Katanya, media sepatutnya sedar bahawa mereka menyuburkan apa yang ada di dalam jiwa khalayak.
"Oleh kerana khalayak sentiasa didorong oleh nafsu dan nafsu itu sentiasa mendorong kepada kejahatan maka paparan media sudah tentu menyuburkan minat khalayak.
"Perkara sebeginilah yang kita bimbangkan," kata Ustaz Zaidi kepada Sinar Harian.
Hukum meraikan Hari Valentine
Tiada kekeliruan hukum dalam isu hari Valentine, kerana ia jelas amalan agama lain. Hukumnya adalah haram kerana sambutan ini mengandungi unsur-unsur dan elemen kepercayaan agama lain, di samping pelbagai perkara sampingan yang membawa kepada perbuatan maksiat dan bercanggah dengan Islam.
Abu Daud meriwayatkan sebuah hadis bermaksud, “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka ia termasuk dalam kaum tersebut”.
Al-Bukhari dan Muslim juga menyebut, Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa mengamalkan perkara bukan daripada amalan kami maka ia ditolak”. Sehubungan itu Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia juga memutuskan, sambutan Hari Valentine ini adalah dilarang.
Ustaz Zaidi berkata, Hari Valentine, kadang-kadang dirancang muda-mudi sebagai program yang menghalalkan pergaulan tanpa batas antara lelaki dan perempuan.
“Bila kita sudah tahu hukumnya haram, mengapa masih ada yang ghairah menganjurkan majlis dengan tema sebegini (menghargai kekasih dan berkorban untuk kekasih). Haram tetap haram, ia tidak boleh menjadi halal,” katanya.
Sementara itu, beliau menggesa pihak berwajib agama proaktif dalam menjalankan aktiviti khidmat nasihat dan pencegahan mungkar sebagaimana dilakukan kebanyakan negeri ketika sambutan tahun baru. Hanya usaha bersepadu pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan mampu mencegah aktiviti sebegini.
“Kita mahu pihak berwajib agama pantau sebelum tiba Valentine. Kita buat semua ini sebab bimbang bila tiba hari kekasih, mereka (remaja) menjadikannya sebagai hari memadu kasih sehingga mengakibatkan hamil luar nikah dan pengguguran bayi,” katanya.
Raikan insan tersayang
Rasulullah bersabda, “Tiada dua orang berkasih sebenar-benarnya melainkan dalam alam pernikahan”. Hadis ini jelas membataskan kekasih kita hanyalah orang dipadukan dengan ikatan pernikahan yang sah. Mungkin ada bertanya apakah Islam tiada jiwa kasih? Jawabnya Islam itu agama yang mengasihi setiap insan. Islam juga mempunyai kaedah bagi menzahirkan perasaan cinta dan kasih itu mengikut tahap dan peringkatnya. Islam tidak membataskan hanya pada tarikh tertentu, dan tidak membuta tuli serta menurut nafsu. Tentu malang jika seseorang itu dikasihi pada tarikh tertentu sahaja dan dicintai hanya kerana nafsu tanpa tanggungjawab? Apa terjadi kepada suami isteri yang hanya menunjukkan rasa cinta terhadap pasangannya hanya pada hari Valentine ini sahaja?
Beliau berkata, Islam mempunyai kaedah bagi menzahirkan perasaan cinta. Contoh, tahap tertinggi kecintaan terhadap Allah diraikan dengan melaksanakan segala urusan berdasarkan perintah-Nya. Kedua, kecintaan terhadap Nabi dengan melaksanakan segala sunnahnya.
“Ketiga, kecintaan terhadap ibu bapa diraikan dengan mentaatinya dan merendahkan diri kepada keduanya selagi tidak bertentangan dengan kehendak agama. Keempat, kecintaan terhadap isteri.
“Kelima, kecintaan terhadap zuriat diraikan dengan bimbingan ilmu dan akhlak.Keenam, saudara seislam diraikan dengan menjaga kehormatan, memberikan hak yang menjadi hak mereka dan lain-lain,” katanya.
Kesimpulannya, kita semestinya meraikan kecintaan ini setiap masa, barulah bahagia selamanya. Inilah kecintaan yang membahagiakan.
http://www.sinarharian.com.my/SH/com/content/story8731437.asp
No comments:
Post a Comment