Saturday, February 12, 2011

Pasangan kesal janji gagal ditepati

MASJID TANAH: Sepasang suami isteri di Kampung Durian Daun, dekat sini, kecewa dengan pihak tertentu yang gagal menunaikan janji untuk meringankan penderitaan anak perempuan mereka sejak Oktober tahun lalu hingga terpaksa menerima bantuan bulanan daripada sebuah persatuan agama lain.

Mohd Nor Yahya, 58, berkata anaknya, Azila, 24, yang menghidap sakit saraf sejak 2007 pernah mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Pembela Barisan Nasional (BN) negeri yang berjanji memberikan bantuan barangan keperluan asas.


Bagaimanapun, katanya, penantian mereka masih tidak kesampaian kerana hingga kini Azila yang hanya terlantar di katil dan bergantung kepada tiub makanan belum menerima sebarang bantuan dijanjikan.

Menurutnya, dia kesal dengan janji pihak berkenaan konon mahu menyalurkan bantuan barangan keperluan asas serta khidmat terapi untuk anaknya itu setiap bulan, tetapi gagal berbuat demikian.


Katanya, dia tidak mampu kerana tidak bekerja berikutan keadaan kesihatan tidak mengizinkan dan hanya bergantung bantuan anak lelakinya yang bekerja sebagai anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).


“Kali terakhir pegawai agensi terbabit datang menjenguk anak perempuan saya pada 30 Oktober tahun lalu. Itupun selepas berita penderitaannya disiarkan akhbar dan dalam kunjungan itu mereka berjanji membantu setiap bulan.

“Saya tidak kisah semua janji ditaburkan mereka di depan anak isteri tetapi apabila orang sudah berjanji, maka kita mengharapkan bantuan itu, tak sangka pula janji itu hanya mahu menyedapkan hati kami,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pasangankesaljanjigagalditepati/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...