Saturday, February 12, 2011

Norlia Ghani Diragut, Hilang RM8,000

Sabtu Februari 12, 2011

Norlia Ghani (kanan) bersama rakan artis, Kartina Aziz.

PETALING JAYA: Pelakon veteran Norlia Ghani,63, kerugian RM8,000 apabila wang pendahuluan penggambaran sebuah drama bersiri yang diterimanya dilarikan dua lelaki di pusat beli-belah Ampang Park dekat sini, petang Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, Norlia diragut ketika sedang menunggu teksi untuk pulang ke rumah selepas selesai mengeluarkan wang di kaunter sebuah bank pusat beli-belah berkenaan.

Norllia berkata, pada waktu itu tiba-tiba datang sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki lalu meragut beg tangannya sebelum melarikan sampul surat yang berisi wang.

“Semasa kejadian tiada orang di hentian teksi hadapan pusat beli-belah itu. Hanya saya seorang saja. Tiba-tiba dua lelaki menaiki motosikal menghampiri saya lalu meragut beg tangan saya.

“Selepas mengambil beg tangan itu, mereka mencampakkannya di tepi jalan lalu membawa lari sampul surat yang saya isikan wang,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, malam Jumaat.

Norlia memberitahu, dia mengeluarkan wang itu untuk membayar sewa rumah sebelum berangkat ke Perlis pada 17 Februari depan untuk menjalani penggambaran drama seram berjudul Air Mata terbitan Zeel Production.

Kata Norlia, dia agak bertuah kerana peragut tersebut tidak melarikan beg duit yang mempunyai beberapa dokumen penting seperti kad pengenalan dan juga telefon bimbit.

Norlia yang amat bersedih dengan kejadian itu bekata, ketika dia memerlukan wang untuk membayar pelbagai hutang, kejadian berkenaan pula menimpa.

“Saya reda dengan ujian ini. Apa yang boleh saya buat lagi melainkan berserah kepada Allah,” ujarnya.

Pelakon itu berkata dia mengesyaki peragut berkenaan mungkin sudah mengintipnya ketika dia berada di dalam bank sebelum mereka melakukan jenayah itu.

“Saya menasihati kepada semua pihak yang mahu mengeluarkan wang selepas ini supaya terus berhati-hati,” ujarnya.

Norlia yang tidak mengalami sebarang kecederaan kemudiannya membuat laporan di pondok polis kawasan pusat beli-belah itu.

Rabu lalu, pelakon Nasha Aziz kerugian kira-kira RM40,000 apabila wang tunai dan barang berharga miliknya dirompak dalam kejadian di persiaran Ampang Hilir, dekat sini.

Peristiwa itu berlaku ketika Nasha dikatakan baru mengeluarkan sejumlah wang dari sebuah bank tidak jauh dari kawasan dia disamun.

Kejadian itu menyebabkan Nasha cedera ketika berlaku pergelutan di antara dia dengan dua orang peragut yang turut menunggang motosikal.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2011/2/12/mstar_hiburan/20110211213950&sec=mstar_hiburan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...