Saturday, February 12, 2011

PM Itali akui beliau melakukan dosa





ROM - Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi semalam mengakui bahawa beliau 'kadangkala melakukan dosa' tetapi mendakwa majistret-majistret yang mahu mendakwa dirinya berhubung skandal seks menggunakan taktik pengintipan era Kesatuan Soviet untuk menjatuhkannya dalam satu rampasan kuasa politik.

Kesatuan Soviet merupakan sebuah empayar komunis yang kemudian runtuh dan beberapa wilayah yang menganggotainya berpecah.

Salah sebuah anggota kesatuan itu ialah Rusia yang kini mengamalkan pemerintahan demokrasi.

Perdana Menteri bermasalah itu menggunakan wawancaranya dengan sebuah akhbar tempatan berpengaruh, Il Foglio bagi meningkatkan tekanan dalam perang saraf dengan beberapa majistret berkenaan.

Pada minggu hadapan, seorang hakim yang mendengar permintaan majistret-majistret di Milan untuk mendakwa Berlusconi akan memutuskan sama ada beliau perlu dibicarakan di mahkamah.

Sebelum ini, pihak pendakwa raya Itali menyatakan mereka memiliki cukup bukti untuk mendakwa Berlusconi, 74, kerana membayar seorang remaja bawah umur, untuk khidmat seks seterusnya menggunakan pengaruh beliau untuk membantu gadis berkenaan.

"Kadangkala saya seperti orang lain, tidak terlepas daripada melakukan dosa tetapi cara mereka gunakan untuk mahu membawa saya ke muka pengadilan adalah melampau," katanya.

Menurut perdana menteri berkenaan, siasatan majistret-majistret terbabit bermotifkan politik seperti pengintipan terhadap kehidupan peribadi orang awam yang pernah dilakukan oleh pemerintah komunis di Jerman Timur. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0212&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...