Saturday, February 12, 2011

Pilihanraya ke-13 dan segala kemungkinannya


Suhaimi Mokhtar

Umno-BN tentu merasa galak dengan kemenangan gabungan itu dalam pilihanraya-pilihanraya kecil DUN, sekaligus merasakan terpanggil untuk memendekkan tempuh lima tahun pilihanraya Mac 2008 yang sepatutnya berakhir sehingga Mac 2013.

Dengan kemenangan pilihanraya kecil DUN Galas di Kelantan dan DUN Tenang di Johor, Umno-BN tentu merasakan bahawa, tiada parti lain selain Umno dan gabungan 14 parti kom ponan BN yang dapat menggantikan parti gabungan itu di sebalik slogan ‘PAS ganti Umno’ yang kini menjadi kalimah keramat parti pesaing utama Umno ini.

Slogan itu membawa mesej besar menggunung tinggi yang menggerakkan momentum perjuangan yang bakal di tempuhi PAS bersama parti dalam Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum ke-13 nanti

Dengan kemenangan bergaya yang di perolehi Umno-BN dalam dua pilihanraya kecil ini, Presiden Umno, Najib Razak tentu merasakan bahawa lebih cepat pilihanraya ke-13 diadakan adalah lebih baik bagi Umno-BN tanpa menunggu hingga tamat tempuh. Kalau demikian maka pilihanraya ke-13 mungkin diadakan pada tahun ini atau selewat-lewatnya tahun hadapan.

Petimbangan

Bagaimanapun, banyak pertimbangan yang dibuat oleh pengatur-pengatur strategi Umno-BN, kerana tidak semua 14 kali pilihanraya kecil DUN dan Parlimen yang diadakan sepanjang selepas pilihanraya umum 2008, Umno-BN meraih kejayaan. Salah satu pilihanraya kecil Umno-BN kecundang ialah untuk kerusi Parlimen Kuala Terengganu, apabila Umno-BN tidak berjaya mempertahankan kerusi kepunyaannya. PAS melalui Abdul Wahid Endut telah merampas kerusi itu.

Meneliti dan mentelaah pasang surut pengaruh politik ini, Umno-BN sedikit terencat untuk menyegerakan pilihanraya kerana takut kalah dalam pilihanraya umum ke-13, apabila Pakatan Rakyat menyatakan bahawa mereka akan bertungkus lumus dan berhabis-habisan untuk menakluki Putrajaya, Pusat pentadbiran kerajaan pusat.

Perkara ini bukan mustahil untuk dicapai, apalagi jika momentum pilihanraya ke-12 pada 2008 digerakkan dengan segala kesungguhan dan stratiji yang mantap termasuk pemilihan calun-calun yang beraura untuk menempah kemenangan.

Parti-parti dalam Pakatan Rakyat khususnya PAS perlu mengenal pasti senarai calun-calun dari sekarang, suntikkan sejumlah peratus calun-calun baru yang muda dan bersih untuk bertanding di kawasan-kawasan kubu lawan.

Umno-BN dijangka akan mengambil kira dan membuat pertimbangan hasil dari pilihanraya kecil Merlimau, Melaka dan satu pilihanraya kecil Dun Selangor bagi membuat kesimpulan sama ada memendekkan tempuh pilihanraya ke-12 dan mengadakan pilihanraya sebelum berakhirnya tempuh, sama ada pertengahan tahun ini atau awal tahun hadapan.

Satu lagi pertimbangan Umno-BN ialah pilihanraya di Sarawak yang menjadi negeri yang menyumbang kepada talian hayat Umno-BN bersama dengan kerusi-kerusi di Sabah. Kekuatan pembangkang di kedua negeri ini tidak sekuat saingan yang diberikan disemenanjung kecuali DAP yang mempunyai pengaruh dan pernah mememenangi kerusi di Sabah.

Pertimbangan-pertimbangan ini akan didarap, dibahagi, di campur dan ditolak bagi menentukan tarikh pilihanraya ke-13, sama ada hingga tamat tempuh atau sebelum tamat tempuh. Terserlah kebimbangan di kalangan pimpinan Umno-BN untuk menghadapi pilihanraya yang paling kritikal dalam sejarah demokrasi pilihanraya negara ini, menoleh dari serangan-serangan pembangkang terhadap
Umno-BN.

Reformasi SPR

Bila pun pilihanraya diadakan, parti-iparti dalam pakatan perlu menentukan sebelum pilihanraya diadakan bahawa pilihanraya kali ini mestilah diadakan dengan penuh adil dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hendaklah mengendalikannya dengan bebas, telus supaya parti-parti yang bertanding berada
di padang permainan yang samarata ketika bertanding.

Pastikan SPR tidak dilihat memihak kepada parti pemerintah seperti yang dapat di lihat selama ini dengan segala peraturan yang mereka adakan;hapuskan undi pos dan menjemput pemantau antarabangsa untuk memantau pilihanraya secara adil supaya tidak berlaku penyelewengan dalam pilihanraya dengan perbuatan membeli undi, rasuah dan lain-lain.

Mulakan desakan supaya mengadakan pilihanraya yang adil dengan SPR sendiri bertindak sebagai badan bebas. Kecacatan dalam pilihanraya-pilihanraya yang lalu hendaklah dibaiki supaya para pengundi dapat mengundi tanpa bimbang dan takut.

Pengalaman-pengalaman dalam pilihanraya-pilihanraya lalu mempamirkan berlaku tindakan-tindakan tidak demokratik yang menjejaskan pilihanraya adil dan telus. Perbuatan menggunakan jentera kerajaan untuk kempen parti pemerintah hendaklah dihapuskan.

Jika beberapa desakan untuk mempastikan pilihanraya adil dan saksama tidak dijamin sebagaimana yang diperincikan oleh perlembagaan, parti pembangkang hendaklah memberi katadua kepada SPR dan merujuk segala desakan ke forum antarabangsa.

Sudah sampai masanya SPR melakukan reformasi dalam pilihanraya ini kerana sejak pilihanraya pertama diadakan pada 1959, tanpa mengambil kira pilihanraya pra merdeka pada tahun 1955, peraturan dan sistem pilihanraya yang dikendalikan oleh SPR tidak banyak berubah dari dahulu hingga sekarang, kecuali sedikit sahaja pembaharuan yang diperkenalkan.

Ura-ura untuk menggunakan dakwat pada pilihanraya 2008 dibatalkan disaat-saat akhir. Sepatutnya ia diperkenalkan. Negara-negara yang mengadakan pilihanraya lewat dari negara ini agak lebih maju dalam pengendalianpilihanraya mereka berbanding negara ini. Malaysia tertinggal dibelakang walaupun lebih awal memperkenalkan sistem pilihanraya.

Apparatus keselamatan termasuk pasukan polis sepatutnya dilihat bebas dalam memantau kempen-kempen pilihanraya. Di era permulaan pilihanraya, parti-parti politik dibenarkan mengadakan rapat-rapat umum terbuka dalam kempen pilihanraya dan keadaan ini wajar dipertimbangkan semula sebagai menyuburkan proses demokrasi dinegara ini.

Penggunaan jentera kerajaan dalam kempen pilihanraya tidak patut berlaku kerana ia menyalahi sistem demokrasi dan menyebabkan persaingan tidak di padang permainan yang samarata.

Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri (PM) yang pertama memilih untuk meletakkan jawatan sebagai PM semasa mengadakan kempen pilihanraya dan tidak menggunakan jentera kerajaan dalam pilihanraya. Ini patut dicontohi supaya pilihanraya di lihat telus dan adil.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30780:pilihanraya-ke-13-dan-segala-kemungkinannya&catid=97:pendapat-dan-analisis&Itemid=131

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...