Wednesday, February 23, 2011

Haris Zalkapli: Protes Bahrain kejutkan rantau Teluk


Haris Zalkapli

Bahrain, negara Arab di Teluk Parsi menduduki satu posisi yang unik berbanding negara Arab serantau lain.

Negara berpenduduk asal bawah 1 juta ini bersempadan dengan Arab Saudi – dan dihubungkan secara fizikal dengan sebuah tambak sepanjang 25 km – dan Iran, negara yang pada zaman empayarnya memiliki wilayah Teluk Parsi.

Negara pulau kecil ini juga menempatkan Armada Kelima Tentera Laut Amerika Syarikat, di posisi kritikal di antara dunia Arab dengan Parsi dan di satu laluan utama eksport minyak dunia.

Kedudukan geografi dan sejarah ini menjadikan Bahrain terdedah kepada permainan kuasa pemain serantau dan global, terutama AS, Arab Saudi dan Iran.

Majoriti penduduknya, melebihi 60 peratus ialah Muslim Syiah dan diperintah sejak 1783 oleh keluarga al-Khalifah berketurunan Arab, beraliran Sunni dan merupakan sebahagian daripada puak yang membebaskan Bahrain daripada kekuasaan Parsi.

Sejurus tercetus kebangkitan di Tunisia, raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa al-Khalifah ialah antara pemimpin dunia Arab yang memperlihatkan kebimbangan dan menunjukkan sokongan kepada pemimpin Mesir, Hosni Mubarak.

Raja Hamad dilaporkan mengajak Hosni mengadakan satu mesyuarat dunia Arab untuk membincangkan masa depan Asia Barat, untuk menangani sentimen antikerajaan yang tercetus dari Tunisia.

Beliau turut memperlihatkan keyakinan terhadap Hosni, mengatakan yang beliau yakin pemimpin itu dapat menguruskan Mesir dan memastikan kestabilannya yang penting kepada “kestabilan semua negara Arab.”

Perkembangan terbaharu melibatkan Bahrain kini menunjukkan apa yang dibimbangi Raja Hamad itu menjadi kenyataan.

Rakyat Bahrain berhimpun di ibu negara, Manama, memprotes dan menuntut perubahan di negara dikuasai sebuah keluarga itu.

Rantau Teluk Parsi, terdiri daripada negara kaya dan ahli Majlis Kerjasama Teluk, GCC, yang paling stabil di dunia Arab kini berdepan satu cabaran besar yang melibatkan kepentingan kuasa-kuasa serantau.

Bahrain telah mengalami protes daripada rakyatnya, yang terbaharu sejak tahun lalu menjelang pilihan raya tahun lepas.

Peningkatan pertembungan warga Syiah dengan pasukan keselamatan sejak pertengahan tahun lalu turut menyaksikan jumlah tangkapan yang terus meningkat.

Walau bagaimanapun, gelombang protes terbaharu ini dilihat sebagai berbeza dan berpotensi mencetuskan perubahan yang lebih besar.

Disebabkan intensiti protes kali ini yang telahpun menyebabkan kematian, kuasa-kuasa berkepentingan kini memerhati, malah turut melibatkan diri dalam perkembangan politik di Bahrain.

Majoriti Syiah di Bahrain mendakwa mereka dipinggirkan daripada arus utama negara dan pemerintah cuba mengambil langkah mengimbangi bilangan mereka.

Kerajaan didakwa mengambil warga asing Muslim Sunni dan diberikan kewarganegaraan segera untuk mengimbangi jumlah warga Syiah, antara tujuan utamanya untuk mengimbangi kuasa undi.

Kerajaan turut dilaporkan mengisi pasukan keselamatan dengan Muslim Sunni dari luar, termasuk Yaman, Jordan dan Pakistan.

Ini dapat menghalang sebarang sentimen atau simpati anggota keselamatan tersebut terhadap masyarakat Syiah, yang dikatakan diperhatikan dalam protes yang berlaku sejak minggu lalu.

Lebih membimbangkan bagi masyarakat Syiah ialah anggota keselamatan dari Baluchistan di Pakistan, satu pusat kumpulan anti-Syiah dan bekas pasukan keselamatan Baath dari Iraq yang diambil ekoran kejatuhan rejim Saddam Hussein.

Media turut melaporkan kereta kebal dan anggota tentera dari Arab Saudi dikerahkan ke Bahrain untuk membantu kerajaan menangani protes rakyat.

Saudi ialah negara paling berkepentingan untuk memastikan enam negara GCC kekal stabil dan tidak terkesan oleh gelombang protes di dunia Arab pada masa ini.

GCC yang dianggotai Arab Saudi, Bahrain, Emiriyah Arab Bersatu, Kuwait, Oman, dan Qatar ialah sebuah blok perdagangan negara kaya rantau Arab yang turut disatukan oleh kepentingan politik.

Saudi, negara pemimpin GCC telah menunjukkan sokongan penuh kepada pemerintahan Raja Hamad dan keluarga al-Khalifa.

GCC dalam mesyuarat tergempar semalam telahpun menegaskan sokongan penuh kepada pemerintah Bahrain.

Satu yang dibimbangi ialah peningkatan pengaruh Iran melalui kumpulan Syiah di Bahrain, yang selepas pilihan raya parlimen terakhir memegang 18 daripada 40 kerusi keseluruhan.

Masyarakat Syiah telah dikaitkan dengan Iran, termasuk menjadi agen negara itu di Bahrain dan juga negara Arab Teluk Parsi yang lain.

Pada pertengahan 2008, lapan warga Bahrain ditahan di Arab Saudi atas dakwaan menjalankan perisikan untuk Iran, perkembangan yang mencetuskan kebimbangan negara serantau terhadap peningkatan aspirasi Iran.

Seorang penganalisis politik Saudi, Dakheel al-Dakheel dilapor berkata,”Negara Teluk tidak boleh menerima perubahan fundamental dan radikal di Bahrain.”

Menurutnya, perubahan itu, sekiranya berlaku akan “mewujudkan keadaan kekeliruan politik dan keselamatan di Bahrain yang boleh membuka pintu kepada campur tangan Iran dan pihak lain, yang tidak boleh diterima negara-negara Teluk, terutama Arab Saudi.”

Negara jiran, Qatar turut terkait dalam protes ini, apabila dilihat mempengaruhi al-Jazeera dalam bahasa Arab untuk memberi liputan yang tidak sepadan, tidak seperti laporan dan analisis yang disaksikan dalam protes Mesir dan Tunisia.

Perkembangan ini menjadikan Bahrain satu petunjuk potensi perubahan di rantau Arab Teluk, dan mendedahkan lagi dengan jelas kepentingan kuasa-kuasa serantau dalam kebangkitan di dunia Arab pada masa ini.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30929:protes-bahrain-kejutkan-rantau-teluk&catid=94:global2&Itemid=135

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...