Wednesday, February 23, 2011

Kedah giat promosi 'Green Tourism' sebagai tarikan pelancongan baru

Muhayat Jasmin

ALOR SETAR, 23 Feb: Usaha bagi mempelbagaikan daya tarikan pelancong ke negeri Kedah dipergiatkan melalui pelbagai program yang telah direncanakan bagi mencapai matlamat menjadikan Kedah sebagai salah sebuah destinasi pelancongan yang amat menarik.

Exco Pelancongan, S. Manikumar yang mengulas mengenai daya tarikan ini berkata, Kerajaan Negeri sedang giat mempromosikan 'Green Tourism' dimana tempat-tempat menarik yang mempunyai keindahan alam hijau dan juga flora serta fauna akan diketengahkan.

"Banyak tempat-tempat menarik seperti Ulu Muda, Lembah Bujang di Merbok, Sungei Sembeling dan juga Gunung Jerai mempunyai keindahan kehijauan alam yang mampu menjadi daya tarikan kepada pelancong.

"Usaha sedang dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi mempromosikan keindahan dan tarikan ini kepada pelancong-pelancong luar negara seperti Singapura dan juga Thailand. 'Green Tourism' ini amat membantu pelancongan di Kedah. Oleh kerana itu ia perlu diketengahkan kepada pelancong kerana keindahan flora dan fauna yang begitu unik dipunyai oleh negeri Kedah," katanya.

Kata beliau, usaha terbaru itu juga bertujuan meluaskan tumpuan pelancongan di Kedah supaya tidak hanya tertumpu kepada Langkawi sahaja.

"Selain Langkawi, banyak lagi kawasan-kawasan pelancongan yang ada di negeri Kedah boleh dipromosikan sebagai destinasi pelancongan yang amat menarik. Jika di Thailand, agensi pelancongan yang ada di sana mempromosikan pusat pelancongan dalam negara.

"Maka itu, adalah tidak sukar bagi semua agensi pelancongan yang ada di Kedah mempromosikan pelancongan di tanah besar Kedah supaya ia setara dengan promosi pelancongan yang dilakukan di Langkawi bagi meningkatkan jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini, " ujarnya.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31020:kedah-giat-promosi-green-tourism-sebagai-tarikan-pelancongan-baru&catid=50:negeri-kedah-darul-aman&Itemid=95

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...