Wednesday, February 23, 2011

Pro-M UPM bantah calon mereka menang dibatalkan

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 23 Feb: 50 aktivis Pro-M UPM terpaksa bersengkang mata sejak awal malam tadi, bagi mengadakan perhimpunan untuk membantah keputusan Jawatankuasa Pelaksana PRK yang membatalkan kemenangan semua calon mereka.

Mereka bersama 11 calon mereka mula berkumpul di hadapan pejabat pentadbiran UPM sejak jam 10.30 malam tadi, sejurus selepas dimaklumkan pembatalan kemenangan calon-calon mereka oleh Ketua Unit Tindakan Tatatertib Hal Ehwal Pelajar (Hep) UPM, Noraihan Noordin jam 9.30 malam tadi.

Jurucakap Majlis Politik Nasional (MPN) Gamis, Shukri Kamarudin menjelaskan, pembatalan kemenangan mereka itu dimaklumkan oleh Noraihan kepada semua calon Pro-M menerusi telefon, atas alasan disebabkan mereka menyertai PRK secara berkumpulan.

Menurut beliau, pada hal pihak lawan mereka, Aspirasi, juga menyertai PRK secara berkumpulan, tetapi anehnya semua kemenangan calon Aspirasi tidak pula dibatalkan.

Katanya, keputusan tersebut amat mengejutkan dan ia tentunya tidak boleh diterima sekali-kali oleh mereka, sehingga menyebabkan mereka terpaksa berkumpul di hadapan pejabat pentadbiran UPM sehingga saat ini, bagi menyampaikan bantahan rasmi kepada pihak pentadbiran universiti itu.

"Sehubungan itu, saya telah menghubungi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah sekitar jam 12.30 malam tadi untuk menyatakan bantahan kami kepadanya.

"Datuk Saifuddin sendiri juga amat terkejut dan berasa aneh dengan pembatalan kemenangan calon-calon Pro-M itu. Beliau turut berjanji akan menyelesaikan perkara itu kerana ia merupakan sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku," katanya ketika menghubungi Harakahdaily hari ini.

Setelah menunggu sekian lama, mereka baru berpeluang untuk mengadakan perbincangan dan menyampaikan bantahan kepada pihak pentadbiran UPM, setelah Naib Canselor UPM, Datuk Ir Radin Umar tiba sekitar jam 8.00 pagi tadi.

"Sebaik Datuk Ir Radin tiba, kami terus menyerbunya dan Datuk Ir Radin bersetuju untuk mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengan kami dengan diwakili calon-calon Pro-M di biliknya sekejap lagi," jelasnya.

Pembatalan kemenangan calon-calon Pro-M itu melibatkan 9 kerusi Fakulti dan 2 kerusi Umum yang ditandingi mereka, dengan mengikuti segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pelaksana PRK dan pihak pentadbiran UPM sendiri.

Kini bilangan aktivis Pro-M yang mengikuti perhimpunan itu semakin bertambah. Dari hanya 50 orang, kini bilangan mereka sudah meningkat ke angka 100 orang dan bilangan itu dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

"Yang kami tuntut hanyalah keadilan. Kenapa seteruk ini diskriminasi yang dilakukan terhadap kami, tetapi kepada pihak Aspirasi tidak pula dibatalkan kemenangannya?" katanya.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31010:pro-m-upm-bantah-calon-mereka-menang-dibatalkan&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...