Wednesday, February 23, 2011

Pengawal terkejut jolok mayat bayi

KEJAM...anggota polis membawa mayat bayi yang ditemui di atas pam tandas.
KEJAM...anggota polis membawa mayat bayi yang ditemui di atas pam tandas.

PONTIAN: Seorang pengawal keselamatan mahu membuang air kecil terkejut menemui mayat bayi lelaki diselimuti tudung dan selendang di atas pam tandas sebuah stesen minyak di Jalan Pontian-Benut, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Abdullah Kasek, 72, berkata, dia terpandang objek terkulai di atas pam itu sebelum mengambil kayu untuk menjolok.


“Biasanya, sebelum memulakan tugas, saya akan memeriksa kawasan sekeliling bagi memastikan dalam keadaan baik termasuk tandas.

“Ketika masuk ke tandas untuk membuang air kecil, saya terpandang objek mencurigakan dan cuba menjolok sebelum terkejut apabila ia mayat bayi yang cukup sifat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Warga emas itu keluar dan memaklumkan penemuan itu kepada kakitangan wanita stesen berkenaan sebelum orang awam menghubungi polis.


“Saya tidak sangka ada manusia berperangai lebih keji daripada haiwan di muka bumi ini, jangan diperlakukan bayi tidak berdosa itu sedemikian rupa,” katanya.

Seorang pekerja yang enggan dikenali berkata, dia mendapati mayat bayi itu dalam keadaan bersih.


“Tiada kesan darah, malah tali pusatnya sudah dipotong dan saya berharap polis mengheret individu terbabit ke muka pengadilan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Daerah Polis Pontian ketika dihubungi mengesahkan kes terbabit.


“Pegawai kami dihantar ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan termasuk kemungkinan bayi lelaki itu sudah meninggal dunia di tempat lain sebelum mayatnya diletakkan di atas pam tandas berkenaan.


“Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Pontian (HP) untuk dibedah siasat,” katanya.


Jurucakap itu berkata, setakat ini, tiada sebarang tangkapan dibuat dan pihaknya masih mengumpul maklumat berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak itu.


Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil di mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pengawalterkejutjolokmayatbayi/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...