Wednesday, February 23, 2011

Siasat pakej haji tipu

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang menyiasat operasi sebuah syarikat dipercayai terbabit dalam penipuan pakej haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata siasatan awal mendapati syarikat yang tidak mempunyai permit itu dipercayai sudah mengumpul 135,000 jemaah dari seluruh negara termasuk Asia Tenggara yang mendaftar secara dalam talian (on-line).


Bagaimanapun, katanya, dalam pemeriksaan awal mendapati lokasi syarikat terbabit masih samar-samar dan nombor telefon yang diletakkan di laman web mereka juga tidak dapat dihubungi.

“Sehingga kini tiada pengesahan dan sebarang bukti yang menunjukkan syarikat terbabit memohon kebenaran dan kuota sebelum menjual perkhidmatan itu kepada orang ramai.


“Kita masih belum dapat kesan lagi siapa dalang di sebalik operasi ini dan saya mengarahkan Jakim serta Tabung Haji terus memantau kes ini,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan di Kompleks Pusat Islam di sini, semalam.


Beliau mengulas laporan akhbar semalam mengenai syarikat berkenaan yang difahamkan berpangkalan di China dan tidak berdaftar di bawah Tabung Haji (TH) menawarkan perkhidmatan haji dan umrah secara cepat dan bayaran dikenakan RM15,000 bagi seorang jemaah haji.

Mereka yang berminat dikatakan boleh membuat tempahan melalui laman web yang disediakan dengan mudah dan pantas.


Setakat ini, kata Jamil Khir, pihak Jakim dan Tabung Haji hanya mengesan sebuah syarikat terbabit dalam penipuan penawaran pakej haji itu.

Beliau berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu mengikut mekanisme tersendiri memandangkan hanya Tabung Haji diberi kuota kerajaan Arab Saudi mengendalikan perkhidmatan haji, bukan terus kepada mana-mana syarikat beroperasi di negara ini.


“Kewujudan syarikat menjalankan penipuan itu hanya mengundang masalah kepada bakal jemaah pada saat akhir menunaikan haji,” katanya yang kecewa kerana perihal ibadat juga diselewengkan.


Jamil Khir turut meminta orang ramai yang mengetahui ataupun mendaftar dengan syarikat itu tampil memberi maklumat bagi memudahkan siasatan dijalankan.


Dalam perkembangan lain mengenai pelajar Malaysia dibawa pulang dari Mesir menerusi Ops Piramid, katanya, akan ada pakej bantuan kebajikan termasuk pelajar miskin untuk kembali meneruskan pengajian di sana selepas keadaan reda.


“Kementerian Luar dan Kementerian Pengajian Tinggi akan memantau perkembangan pelajar terbabit dan kementerian saya bagi soal kebajikan,” katanya.


Terdahulu, beliau menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada 30 murid cemerlang dalam Peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Agama dan Fardu Ain, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama dan Sijil Menengah Agama tahun lalu.


Mengenai sambutan itu, katanya, agensi dan jabatan di bawah kementerian seperti TV AlHijrah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) dan Jakim akan menganjurkan pelbagai program sepanjang bulan ini bagi menggalakkan masyarakat menghayati perjuangan Rasulullah s.a.w dan perjuangan Baginda menegakkan syiar Islam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Siasatpakejhajitipu/Article/index_html

2 comments:

Unknown said...

KENYATAAN AKHBAR
GLOBAL ISLAMIC PILGRIMS BOARD (GIPB) – KLARIFIKASI PERNYATAAN
Re: “Siasat Pakej Haji Tipu” – Muka surat A10, Harian Metro, 22 Februari 2011

Pernyataan oleh:

Dato’ Seri Mohd Safi’e Bin M Jaffri
Pengerusi
Global Islamic Pilgrims Board

[MULA]

Kuala Lumpur, 4 Mac 2011, Global Islamic Haji Board (GIPB) ingin mengklarifikasikan berkaitan dengan artikel media tentang tawaran pakej Haji baru-baru ini yang diterbitkan oleh Harian Metro pada 22 Februari 2011.

GIPB ditubuhkan di China dengan tujuan utama untuk memberikan perkhidmatan organisasi kelas dunia bagi membantu umat Islam di seluruh dunia untuk mengerjakan Haji. Saat ini, GIPB telah mempunyai 9 negara anggota dan berkembang lagi dengan 17 negara Afrika yang lain dimana mereka telah menunjukkan minat kepada GIPB bagi menguruskan jemaah mereka.

Untuk membersihkan nama GIPB, kami tidak mempunyai niat untuk menawarkan perkhidmatan ibadah jemaah haji Malaysia sebagaimana yang telah dilakukan oleh Tabung Haji Malaysia sangat baik dalam menguruskan jemaah dari Malaysia.

Kami berniat untuk menguruskan jemaah dari negara lain di dunia yang kurang bersistematik dan kurang teratur. Kami menjawab panggilan umat Islam dari Negara lain di dunia untuk membantu mereka memenuhi kewajipan kelima Islam mereka secara sistematik dan teratur.

GIPB mencabar Harian Metro dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk memberikan bukti-bukti yang kukuh bagi menyokong laporan dakwaan dan fitnah mereka seperti yang diumumkan
dalam laman A10 Harian Metro pada 22 Februari 2011.

Kami ingin menyatakan bahawa wakil dari Tabung Haji dijemput untuk menghadiri upacara perasmian kami pada 12 Februari 2011. Kami juga bersedia untuk bertemu dengan Lembaga & Tabung Haji (LTH) dan pegawai menteri pada bila-bila masa bagi membersihkan nama dan kedudukan kami berkaitan dengan isu berikut.

Untuk membersihkan nama Global Islamic Pilgrims Board, kami sedang berkemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Harian Metro serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri di atas membuat tuduhan palsu dan laporan fitnah seperti yang diumumkan dalam Harian Metro pada 22 Februari 2011.

[TAMAT]

Untuk sebarang pertanyaan sile emel:
inquiries@gipbchina.com
Website: www.gipbchina.com

Zubair said...

Terima kasih Mr Ainaa diatas info diatas, semoga ianya berguna kepada kita semua untuk menilai berita mana benar dan yang mana salah untuk dijadikan pedoman untuk kita semua disini.

Terima kasih sekali lagi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...