Wednesday, February 23, 2011

S'gor nafi hapus kuota perumahan bumi

Salhan K Ahmad
Feb 23, 11
6:36pm

Kerajaan Selangor hari ini menafikan dakwaan bahawa ia berhasrat untuk menghapuskan kuota perumahan sebanyak 30 peratus yang dikhaskan untuk bumiputera.

Sebaliknya, Menteri besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri membantu memudahkan proses untuk pemaju menjual rumah yang tidak laku kepada golongan bukan bumiputera.

Proses itu dipermudahkan kerana jumlah perumahan yang tidak terjual itu, telah memberi kesan kepada aliran tunai syarikat pemaju terbabit, kata Khalid.

Katanya, pemaju sebelum ini perlu mendapat kelulusan untuk menjual rumah berkenaan kepada bukan bumiputera.

"Walaupun setelah rumah itu dia siapkan dan tak ada orang tak beli, dia kena tunggu dapat kelulusan untuk jual kepada bukan bumiputera.

"Tapi sistem yang kita buat kali ini adalah automatik," katanya lagi.

Melalui sistem itu, 20 peratus daripada rumah berkenaan boleh dilepaskan selepas 50 peratus siap.

Sebanyak 30 peratus lagi boleh dilepaskan jika masih tiada pembeli setelah 75 peratus siap.

"Hingga peringkat mendapat CF, barulah boleh dilepaskan kesemuanya (jika tiada pembeli)," katanya lagi.

Bagaimanapun kelulusan itu mesti dibuat melalui jawatankuasa kuota perumahan bumiputera yang dipengerusikan oleh exco perumahan, Iskandar Abdul Samad, kata Khalid lagi.

Keputusan akan dibuat dalam tempoh tidak melebihi 14 hari, tambahnya.


Sementara itu, Iskandar pula berkata kuota untuk bumiputera itu bukan hanya 30 peratus tetapi sehingga 70 peratus, mengikut kawasan yang ditetapkan.

Iskandar berkata kerajaan negeri juga telah menubuhkan syarikat Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd bagi membantupemaju memasarkan stok perumahan yang tidak dapat dijual pemaju.

Melalui usaha itu, tambahnya, kerajaan negeri berharap ia dapat meringankan beban pemaju.

Bercakap dalam sidang akhbar yang sama, Iskandar berkata, langkah kerajaan dalam melicinkan proses pelepasan stok yang tidak dapat dijual pemaju, tidak bermakna pemaju dapat jual sewenang-wenangnya.

"Ada laporan bahawa pemaju boleh jual hingga 80 peratus daripada kuota, tanpa memberitahu kerajaan Selangor.

"Ini tidak betul. Mereka perlu memberitahu kerajaan selangor tetapi proses itu dipercepatkan dan dilicinkan," katanya lagi.

http://malaysiakini.com/news/156856

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...