Sunday, October 5, 2008

Catatan perjalanan ‘hero’ - Nasrudin bayar tekong haram RM500 keluar Malaysia


RUMAH kedai milik Nasrudin di kampungnya di Lombok Timur dan keluarga Nasrudin turut mendiami sebuah rumah bersebelahan kedai itu.

-------------------------------------------------------------------

NUSA TENGGARA BARAT (MATARAM) – Demi kasih sayang yang semakin subur di hati, pasangan kekasih Noor Fadilah Ahmad, 18, dan Nasrudin Dahrom, 24, sanggup mengharungi segala kepayahan untuk membawa gadis pilihannya ke kampung halaman.

Semuanya bermula pada dinihari, 3 September lalu apabila mereka bertindak nekad menaiki bot haram dari satu jeti di Kota Tinggi untuk menyusup keluar dari Malaysia ke destinasi yang dituju.

Dalam suasana yang agak gelap pada pukul 4 pagi, bermulanya detik sebuah perjalanan bersejarah bagi pasangan kekasih ini biarpun Fadilah terpaksa meninggalkan keluarga tercinta.

Itulah pengakuan Nasrudin kepada wartawan Kosmo! Ahad ketika ditemui di rumah keluarga Nasrudin di Desa Kesik, Lombok Timur dengan Fadilah turut berada di sisinya ketika menceritakan perjalanan mereka ke Lombok Timur yang dianggap detik-detik manis untuk dikenang sepanjang hayat.

Biarpun begitu, pendedahan tersebut agak mengejutkan kerana dia tidak dibantu sesiapa untuk menyeludup kekasihnya itu.

Tanpa sebarang dokumen perjalanan, Nasrudin dan Fadilah hanya perlu membayar tambang bot kepada tekong sebanyak RM250 seorang untuk sampai ke Batam melalui satu kawasan perairan di Kota Tinggi.



-------------------------------------------------------------------

Malah dakwa pemuda Lombok itu lagi, kawasan di Kota Tinggi memang menjadi pusat untuk semua warga Indonesia berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk pulang ke negara asal mereka.

“Semua orang Indonesia tahu tempat itu dan saya sendiri tidak perlu bertanya sesiapa untuk ke situ pada hari tersebut.

“Mudah sangat. Sebaik sampai di jeti tersebut, kami terus pergi jumpa tekong bot yang sedia menunggu dan bayar tambang untuk ke Batam.

“Tidak ada sebarang pemeriksaan oleh mana-mana pihak sehinggalah kami selamat sampai di Batam setelah melalui pelayaran selama kira-kira tiga jam,” ujarnya.

Menurut Nasrudin, keadaan di dalam bot tersebut memang tidak selesa memandangkan terlalu ramai warga Indonesia lain yang turut menaikinya pada hari tersebut.

“Memang Fadilah tidak selesa di atas bot kerana agak ramai orang ketika itu dan aspek keselamatan tidak disediakan pada mulanya tetapi sepanjang perjalanan, saya mententeramkannya.


“Tetapi perjalanan kami lancar dan tidak ada pihak berkuasa yang menghalang bot tersebut sepanjang perjalanan,” ceritanya lagi.

Bagaimanapun menurut Nasrudin, setibanya di Teluk Mata Ikan di Batam, dia sudah kehabisan wang untuk meneruskan perjalanannya ke kampungnya di Desa Kesik dan meminta bantuan daripada keluarganya.

http://www.kosmo.com.my/05102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...