Sunday, October 5, 2008

Taiwan haramkan produk Nestle


SEORANG pekerja sebuah pasar raya mengalihkan semua produk yang dipercayai mengandungi melamin di Taipei semalam.

TAIPEI - Sebanyak enam produk susu syarikat Nestle diharamkan untuk jualan selepas ujian mendapati ia mengandungi melamin, kata Menteri Kesihatan Taiwan, Yeh Ching-chuan semalam.

"Ujian mendapati produk tersebut positif melamin dalam jumlah yang sangat rendah," katanya.

Menurutnya, produk tersebut yang dihasilkan di daerah Heilongjiang, China telah ditarik balik daripada jualan di Taiwan.

Produk tersebut yang dihasilkan oleh Shuangcheng Nestle Co. dijual di bawah label Nestle dan Klim, termasuk susu formula bayi serta produk susu untuk orang dewasa.

Bagaimanapun, jabatan kesihatan memberi jaminan bahawa paras melamin yang rendah dalam produk itu tidak mencetuskan risiko kesihatan.

Bagaimanapun, syarikat Nestle Taiwan semalam menegaskan bahawa melamin tidak ditambah pada produknya dan menuduh bahan kimia yang dikesan oleh kerajaan itu sebenarnya wujud dalam persekitaran semula jadi.

Syarikat itu dalam satu kenyataannya memberitahu bahawa jumlah melamin yang dijumpai pada produknya sangat rendah dan bahan kimia itu hampir pasti wujud dalam semua produk makanan di dunia.

"Nestle tidak faham mengapa pihak berkuasa Taiwan mengharamkan produk ini walaupun ia diiktiraf selamat oleh standard antarabangsa," jelasnya.

Sementara itu di Seoul, pihak berkuasa Korea Selatan mengharamkan import produk susu dari New Zealand yang digunakan dalam susu formula selepas satu ujian mendapati kehadiran melamin.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Korea Selatan menyatakan kejadian tersebut merupakan kes pertama membabitkan susu tercemar selain dari China. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/03102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...