Oleh KUMARA SABAPATTY dan
TAJUL SAFUAN ABU HASSAN
berita@kosmo.com.my
AHMAD (tengah) serta saudara mara terkejut melihat pengakuan Noor Fadilah yang disiarkan Kosmo! di rumahnya dekat Bagan Serai semalam.
-------------------------------------------------------------------
BAGAN SERAI - "Tok Su terkejut serta menangis seharian setelah melihat kenyataan Kak Yong yang menyakitkan hati kami sekeluarga.''
Itu cerita ayah gadis berkenaan, Ahmad Abdul Hamid, 46, mengenai keadaan Tok Su atau nenek saudara kepada Kak Yong atau Noor Fadilah, 18, sebaik sahaja mendapat tahu gadis itu tetap mahu berkahwin dengan lelaki warga Lombok, Nasrudin Dahrom.
Tok Su atau nama sebenarnya Jurukasih Abdullah, 66, kini tinggal di Bukit Mertajam, Pulau Pinang merupakan emak saudara kepada Ahmad yang menjaga Noor Fadilah dari kecil sehingga berusia 12 tahun.
Beliau kini dikatakan sering menangis seharian dan enggan makan apabila terkejut melihat kenyataan yang memeritkan hatinya menerusi kenyataan Noor Fadilah dalam Kosmo! semalam.
"Jadi kami tidak membenarkan Tok Su dihubungi kerana masalah kesihatannya yang kian meruncing disebabkan penyakit kencing manis, jantung dan darah tinggi..harap beri ruang kepadanya.
"Orang tua itu sudah sakit hati dan terkejut serta menangis seharian setelah melihat kenyataan Kak Yong," kata Ahmad kepada Kosmo! ketika ditemui di rumahnya semalam.
Bagaimanapun, Ahmad yakin pengakuan anaknya semalam bukanlah satu pengakuan jujur Noor Fadilah dan menganggapnya terpaksa meluahkan demikian demi keselamatan dirinya.
"Bayangkan kalau sesiapa saja yang bersendirian di tempat asing dan tidak mempunyai wang, dokumen perjalanan dan sebagainya..apa yang harus dilakukan? Itulah situasi yang dihadapinya sekarang.
"Sebagai bapanya, saya tahu sifat dan sikap anak saya dan kami sekeluarga langsung tidak yakin dan mempercayai kata-katanya itu," tegasnya.
Ahmad berkata demikian mengulas mengenai pengakuan anak sulungnya yang dikatakan sanggup mati dan meninggalkan keluarga yang disayangi kerana tidak mahu berpisah dengan lelaki yang dicintainya itu.
http://www.kosmo.com.my/04102008
No comments:
Post a Comment