Sunday, October 5, 2008

Salwanis perlu RM10,000 ke Pakistan


Oleh SAIFUL AFFENDY SAPRAN
saiful.sapran@kosmo.com.my


SALWANIS menunjukkan gambar anaknya yang dilarikan suami beliau ke Pakistan di Kuala Lumpur semalam.
-------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Ibu malang, Salwanis Ma'az, 31, kini mengharapkan ehsan orang ramai untuk mengumpul dana bagi membolehkannya meneruskan usaha mencari anak kesayangan, Muhammad Bilal di Pakistan.

Beliau yang ditemui semalam memberitahu, dia memerlukan sekurang-kurangnya RM10,000 daripada ehsan orang ramai untuk perbelanjaannya ke Pakistan selepas Hari Raya nanti.

Kata Salwanis, beliau telah bertekad untuk ke Pakistan dengan hasrat untuk menemui keluarga suaminya, Nasir Mahmood Qadri Nisar Ahmed, 39, untuk berbincang mengenai masalah yang dihadapinya.

"Saya memang dah bertekad nak ke sana (Pakistan) sebab andai dapat jumpa keluarga suami, sekurang-kurangnya saya boleh berbincang dengan mereka dan berkongsi masalah yang saya hadapi.

"Di samping itu, saya juga akan cuba menjejaki Bilal. Manalah tahu mungkin dia ada di Pakistan ke. Oleh itu, sumbangan daripada orang ramai amat saya perlukan untuk menanggung segala macam perbelanjaan di sana nanti,"
katanya ketika ditemui semalam.

Kosmo! sebelumnya melaporkan tentang usaha Salwanis untuk mencari Bilal yang baru berusia tiga bulan walaupun menjelang Hari Raya kerana beliau benar-benar merindui anaknya itu yang dilarikan suaminya ke destinasi yang tidak diketahui sejak 26 Julai lalu.

Tambah Salwanis, masalah kewangan yang dihadapinya bukan sekadar mengenai perbelanjaan untuk ke Pakistan sahaja, malah ujar Salwanis, beliau turut dihimpit dengan tunggakan hutang sewa kedai serta perbelanjaan harian.

http://www.kosmo.com.my/03102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...