Sunday, October 5, 2008

Mungkinkah Fadilah dianggap anak derhaka?


KUALA LUMPUR - Meskipun Islam mengharuskan Noor Fadilah Ahmad bernikah dengan pasangannya, Nasrudin Dahrom dari Lombok Timur, Indonesia, namun perbuatannya itu boleh dianggap derhaka sekiranya perkahwinan mereka tidak direstui keluarga.

Tokoh agama, Datuk Haron Din berkata, anak derhaka yang dimaksudkan itu merujuk kepada perbuatan anak gadis 18 tahun itu yang didakwa melarikan diri dari rumah.

Menurutnya, walaupun Noor Fadilah dibolehkan menikahi pasangannya kerana jaraknya dengan wali (bapanya) melebihi dua marhalah (93 kilometer) tetapi dia wajib mematuhi hukum syarak.

Ia termasuk perlunya adanya wali, saksi dan ijab kabul dalam sesuatu perkahwinan.

"Mengikut hukum syarak, wali hakim yang akan menikahkan pasangan itu mesti di kalangan wali yang berdaftar dan dilantik oleh pemerintah dan tiada halangan lain seperti kufu (taraf wanita dan lelaki sama)," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Kosmo! sebelum ini mengenai Noor Fadilah Ahmad yang didakwa dilarikan ke Lombok Timur, Indonesia oleh Nasrudin dan kini merayu kepada bapanya, Ahmad Abdul Hamid, 46, untuk berkahwin dengan pemuda itu.

Ahmad pula menegaskan yang beliau tidak akan merestui hubungan anaknya dengan Nasrudin dan bertekad membawa pulang anaknya itu.

Tambah Haron lagi, antara jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah itu ialah dengan merestui pernikahan Fadillah.

Dalam pada itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid pula berpendapat, pernikahan tersebut sah sekiranya Fadilah sendiri bersetuju untuk bernikah atas kerelaannya sendiri dan bukan atas dasar paksaan.

"Memang sah sebab dia dah 18 tahun dan wali hakim yang menikahkan itu pula mesti dari kalangan orang tempatan dan dilantik secara sah bukan macam sindiket yang nikah bawah pokok.

"Akan tetapi, Fadilah sewajarnya bersimpati dengan perasaan kedua ibu bapanya dan fikir matlamatnya untuk berkahwin adalah untuk eratkan silaturahim dan luaskan hubungan," katanya.

Sementara itu, Mufti Johor, Datuk Mohd. Nooh Gadut menasihatkan kedua-dua pihak berbincang secara terbuka.

http://www.kosmo.com.my/04102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...