Sunday, October 5, 2008

Geng Mastika hati kering, ganas

Oleh TURMADZI MADUN
turmadzi.madun@kosmo.com.my


KERATAN Kosmo! 30 Ogos 2008.

-------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Polis mengklasifikasikan enam penjenayah warga Indonesia dikenali sebagai Geng Mastika yang mati ditembak baru-baru ini merupakan antara kumpulan samun bersenjata berhati kering dan ganas.

Ini berdasarkan keterangan yang diambil daripada setiap mangsa samun kumpulan tersebut yang mengatakan suspek-suspek tidak akan teragak-agak untuk mencederakan mereka jika melawan arahan.

Antara mangsa yang pernah 'dianiaya' ahli Geng Mastika ialah mereka dilaporkan kehilangan jari dan tangan akibat ditetak atau dicederakan dengan menggunakan parang.

Kumpulan tersebut yang terlibat dalam kes pecah rumah akan mengikat kesemua mangsanya dan jika terdesak baru mangsa akan dicederakan.

Suspek-suspek banyak bersenjatakan parang, pisau dan pemutar skru.

Difahamkan, sehingga kini, polis percaya, kumpulan tersebut telah mengaut RM300,000 hasil pecah rumah terhadap berpuluh rumah mangsa di sekitar Kuala Kubu Baru, kawasan Bukit Beruntung dan Seremban.

Sasaran kumpulan tersebut pula membabitkan rumah-rumah mewah termasuk rumah VIP.

Jurucakap polis berkata, setiap kali selepas menyamun, hasilnya yang merupakan barang kemas dan wang akan dikumpul sebelum dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing.

"Mereka masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong selama beberapa bulan dan dalam tempoh itu, mereka akan melakukan samun bersama rakan senegara.

"Selepas menyamun, kumpulan ini akan membuang atau menyembunyikan senjata seperti parang, pisau dan pemutar skru di dalam hutan dan akan mengambilnya semula sekiranya ingin menyamun lagi,'' katanya di sini baru-baru ini.

Pada 26 Ogos lalu, dua daripada sembilan suspek Geng Mastika ditembak mati di Jalan Pinggiran Tasik Kiambang Serendah.

Tiga hari kemudian, empat lagi ahli kumpulan tersebut turut mengalami nasib sama di sebuah tapak pembinaan di Bukit Hatamas, Taman Segar Perdana, Cheras di sini.

http://www.kosmo.com.my/03102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...