Sunday, October 5, 2008

'Datanglah jenguk saya mak'

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
dan SUHANA YUSOP
berita@kosmo.com.my


ASRAF meluahkan isi hatinya kepada wartawan Kosmo! dalam satu temubual di Penjara Kajang baru-baru ini.

-------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - "Saya amat rindukan mak. Setiap saat lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri, hati saya bagai dirobek ingin bertemu dengannya."

Itulah luahan pilu seorang pesalah juvenil, Asraf, 20-an, (bukan nama sebenar) di Penjara Kajang yang ditahan sejak awal 2006 yang merasakan dirinya bagai dibuang keluarga kerana tidak pernah dijenguk ibu tersayang.

"Janganlah buang saya mak. Memang saya bersalah tetapi saya sangat perlukan mak. Saya memang berdosa tetapi janganlah biarkan saya mati tanpa mendapat keampunan dari mak," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Melihatkan air mukanya yang tenang, seolah-olah terpancar raut keinsafan dan dahagakan kasih sayang ibu sebagai sokongan biarpun bergelar banduan atas kesalahan samun dan membunuh.

"Kalau mak datang melawat saya di sini, saya akan cium kakinya agar dia sudi mengampunkan dosa yang saya buat sehingga memalukannya di kampung," ujarnya.

Air matanya sesekali mengalir setiap kali diajak berbual tentang kasih sayang yang dicurahkan oleh ibunya yang kini berada di sebuah kampung di Negeri Sembilan sebelum hidup di sebalik tembok besi di Sungai Jelok, Kajang.

"Di sini memang ramai yang sebaya saya tetapi masing-masing ada keluarga yang datang menjenguk setiap bulan.

"Berlainan dengan saya, sejak dimasukkan ke sini, keluarga langsung tidak ambil peduli seolah-olah mereka mahu saya terus kekal dan mati di dalam penjara ini," ujarnya sambil mengesat air mata.

Bercerita tentang bagaimana dia boleh melakukan jenayah itu, kata Asfar, ketika itu dia berumur 18 tahun dan terjebak dalam jenayah atas pengaruh rakan-rakan.

"Saya tak pernah menyamun dan malam itulah pertama kali saya melakukannya dan demi mempertahankan diri, saya telah menikam orang dan kerana takut, saya menyembunyikan diri sebelum ditangkap dua hari kemudian di Ampang," ujarnya.

Menurutnya, keluarga memang terkejut apabila diberitahu kesalahannya tetapi pada masa sama, dia ingin keluarganya tahu apa yang telah dilakukan bukan atas kerelaannya.

http://www.kosmo.com.my/04102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...