Sunday, October 5, 2008

‘Saya tak restu’

Oleh AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my



AHMAD tetap tidak akan merestui perkahwinan Noor Fadilah (gambar kecil) dengan pemuda Lombok.

-------------------------------------------------------------------

BAGAN SERAI – “Remuk hati dan menggigil badan saya apabila mengetahui anak saya (Noor Fadilah Ahmad) akan berkahwin juga dengan pemuda dari Lombok (Nasrudin Dahrom) itu dalam masa terdekat.

“Tak terfikirkah dia betapa derita kami sekeluarga di sini semenjak kehilangannya. Sampai mati pun saya suami isteri tidak akan merestui perkahwinan itu sekiranya ia benar-benar terjadi.

Demikian luahan Ahmad Abdul Hamid, 46, apabila mengetahui anak sulungnya, Noor Fadilah, 18, atau digelar keluarga sebagai Kak Yong membuat pengakuan rela mengikut Nasrudin, 24, lari ke Desa Kesik, Lombok Timur seterusnya mahu mengahwini lelaki itu.

Beliau yang kelihatan kusut dan agak berserabut ketika ditemui berkata, sukar untuk menerima hakikat perbuatan Noor Fadilah dan Nasrudin yang disifatkan telah menconteng arang ke muka keluarganya.

“Jika benar Nasrudin mahu anak saya, kenapa dia tak minta (melamar) dengan cara baik kepada saya, sedangkan tempat tinggalnya cuma berhadapan dengan rumah saya.

“Bagaimanapun saya mahu bertemu sendiri dengan Kak Yong dan Nasrudin untuk mendengar penjelasan daripada mulut mereka sendiri,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di rumahnya di Ladang Sungai Gedong dekat sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan pengakuan Noor Fadilah yang rela hati mengikut Nasrudin ke kampung halaman kekasihnya kerana mencintai lelaki itu dan tekad mahu mengahwininya.

Sebelum itu, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berhasrat membantu membawa pulang gadis tersebut ke pangkuan keluarganya setelah bersimpati dengan keluhan Ahmad yang mendapat berita anak gadisnya menderita setelah dilarikan ke Kepulauan Lombok oleh Nasrudin.

Ahmad yang telah menyediakan segala persiapan untuk ke Lombok Timur termasuk mendapatkan pasport antarabangsa kelmarin memberitahu, beliau masih mahu membawa Kak Yong pulang semula ke rumahnya.

Sehubungan itu, beliau merayu Pengerusi Sekretariat Pengaduan dan Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO, Datuk Abdul Azeez Rahim agar membantunya mempercepatkan misi untuk ke Lombok Timur yang tertangguh sebelum ini.

Difahamkan pemergian ke kampung halaman Nasrudin yang dirancang esok terpaksa ditangguhkan kira-kira seminggu lagi bagi membolehkan Abdul Azeez bertemu dengan Ketua Polis Indonesia pada 6 Oktober ini bagi merancang strategi membawa pulang Noor Fadilah.

http://www.kosmo.com.my/01102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...