Sunday, October 5, 2008

Lelaki disyaki merogol kena cekup

Oleh IBRAHIM ISA
ibrahim@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Tindakan pantas polis membawa kepada penahanan dua lelaki berusia 21 dan 25 tahun di sekitar Kempas, di sini, malam kelmarin, bagi membantu siasatan kes rogol bergilir-gilir membabitkan seorang gadis berusia 16 tahun di sebuah rumah di Taman Dahlia, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Asisten Komisioner Che Yussof Che Ngah, berkata sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Johor Bahru Utara menahan dua lelaki terbabit yang berlegar-legar di sekitar Kempas, kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Katanya, polis juga mengenal pasti baki lapan lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu dan usaha mengesan mereka yang dipercayai berusia 20-an giat dijalankan.

“Dua lelaki itu kini ditahan reman hingga 8 Oktober ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, sambutan Aidilfitri seorang gadis berusia 16 tahun berakhir tragedi apabila menjadi mangsa buas sekumpulan kira-kira 10 lelaki yang memukulnya hingga pengsan sebelum dipercayai merogolnya secara bergilir-gilir di sebuah rumah kosong di Taman Dahlia, Khamis lalu.


Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa dalam perjalanan pulang selepas selesai urusan di sebuah kafe siber di Bandar Baru Uda, di sini, sebelum tiba-tiba dihampiri sebuah Proton Waja berwarna putih yang dinaiki empat lelaki.

Empat lelaki itu kemudian mengarahkan remaja berkenaan menyerahkan wang dan telefon bimbitnya kepada mereka dan apabila remaja itu enggan, dia dicucuh menggunakan puntung rokok.

Disebabkan takut, remaja berkenaan menuruti arahan lelaki berkenaan sebelum seorang daripada empat lelaki itu menarik remaja berkenaan ke dalam kereta lalu membawanya ke sebuah rumah di Taman Dahlia.

Di rumah itu, ada lebih 10 lelaki menunggu dan gadis itu dipukul hingga pengsan sebelum dirogol bergilir-gilir.

http://www.hmetro.com.my/05102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...