Sunday, October 5, 2008

Fadilah tak mahu berpisah


NOOR FADILAH menghidang makanan kepada tetamu di rumah bakal ibu mentuanya di Lombok Timur semalam.

-------------------------------------------------------------------

NUSA TENGGARA BARAT (MATARAM) - "Tolonglah abah, benarkan kami berkahwin, saya benar-benar sayangkan Nasrudin, saya lebih sanggup mati dari pulang ke Malaysia."

Demikian rayu Noor Fadilah Ahmad, 18, ketika wartawan Kosmo! mengunjungi rumah keluarga Nasrudin Dahrom untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di Desa Kesik, Lombok Timur kelmarin.

Menurut Fadilah, dia sedar apa yang dilakukannya itu sudah pasti akan melukakan hati ibu bapanya namun dia yakin sudah membuat keputusan untuk menentukan masa depannya.

"Saya sudah dewasa dan saya mula mengenali Nasrudin sejak berumur 15 tahun.


NOOR FADILAH mencium pipi ibu Nasrudin, Meme Romini selepas menunaikan solat Aidilfitri di Lombok Timur, Indonesia kelmarin. Turut memerhati kekasihnya, Nasrudin.

-------------------------------------------------------------------

"Sejak itu saya sudah mengenali hati budinya dan sekarang saya sudah berusia 18 tahun, benarkan saya buat keputusan untuk diri saya sendiri," jelasnya yang sehingga kini masih belum berkahwin kerana tidak mendapat izin wali.

Pasangan kekasih ini masih belum bernikah yang sepatutnya dijadualkan sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu kerana permohonan mereka untuk bernikah masih belum diluluskan.

Mereka dijangka diijabkabulkan dalam tempoh seminggu selepas hari lebaran ini.

Pada 1 Oktober lalu, bapa Fadilah, Ahmad Abdul Hamid, 46, menegaskan bahawa dia tidak merestui hubungan anaknya dengan Nasrudin dan bertekad mahu membawa pulang anaknya itu.

Ketika ditanya mengenai reaksi bapanya yang tidak bersetuju dengan hasratnya untuk berkahwin dengan Nasrudin dan tekad untuk membawa anaknya pulang, Fadilah memberitahu, dia akan tetap tinggal di sini walaupun dipaksa untuk pulang.

"Saya tetap ingin tinggal di sini, jangan paksa saya dan kalau ada rezeki saya akan pulang juga ke sana tetapi sebagai isteri Nasrudin yang sah dan mencari rezeki yang halal untuk kami," ujarnya dengan nada sedih.

Sementara itu, Nasrudin ketika ditemui menjelaskan, dia berharap dapat berunding dengan bapa Fadilah terlebih dahulu dan sekiranya gagal, dia akan mempertahankan Fadilah walau dengan cara apa pun.

"Saya mahu bapa Fadilah lihat keadaan kami di sini dan benarkan kami berkahwin dan jika diizinkan, kami akan berkahwin dengan segera tetapi jika sebaliknya, saya akan pertahankan Fadilah walau dengan apa cara sekalipun, saya sudah membawa dia lari jadi saya harus bertanggungjawab sepenuhnya," jelas beliau.

Malah Nasrudin turut merayu kepada keluarga Fadilah agar membenarkan mereka berkahwin dan bertekad untuk memberikan kehidupan yang baik kepada Fadilah.

"Saya merayu supaya keluarga Fadilah faham dengan niat ikhlas saya untuk memperisterikan Fadilah, tolong jangan pisahkan kami," ujarnya ringkas.

Wartawan Kosmo! turut difahamkan, Nasrudin memiliki tanah untuk menjalankan kegiatan pertanian seperti menanam tembakau dan padi, dia juga turut memiliki empat ekor lembu.

http://www.kosmo.com.my/03102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...