Sunday, November 14, 2010

AC jawab dakwaan

AC jawab dakwaan

JELAS... AC Mizal ditemani jurucakap AC Konsortium, Khai menunjukkan surat penganugerahan gelaran Datuk yang diterima daripada Setiausaha Pejabat Negeri Pahang.
JELAS... AC Mizal ditemani jurucakap AC Konsortium, Khai menunjukkan surat penganugerahan gelaran Datuk yang diterima daripada Setiausaha Pejabat Negeri Pahang.

SELEPAS beberapa hari membuat laporan polis kerana mendakwa dirinya diugut, malah menjadi bahan cacian di Internet, pelakon, penyanyi dan pengacara, Datuk Mizal Zaini, 39, atau AC Mizal tampil memberi penjelasan berhubung beberapa isu yang ditimbulkan penulis blog, forum tertentu dan laman sosial Facebook, antaranya mendakwa harga gelang AC cuma AS$25 (RM78) tetapi dijual pada harga RM1,000, penjualan gelang AC di gedung Marks & Spencer di London, tiada lesen jualan langsung dan gelaran Datuk tipu.

Beliau yang kini bergelar ahli perniagaan selaku Pengerusi Eksekutif AC Konsortium Sdn Bhd (AC Konsortium) menyifatkan dakwaan terbabit sebagai fitnah dan berniat jahat untuk mencemarkan nama baik dan menjatuhkan perniagaannya.

Akibat keselamatannya turut diancam, AC terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk mengupah pengawal peribadi bagi melindungi keluarga dan kakitangannya.

Sambil mencabar pihak yang menyerangnya itu tampil, terutama penulis blog yang menggunakan nama Aidid Mu’addib, AC menganggap mereka sebagai pengecut. Atas dasar ‘berani kerana benar’, AC dengan tenang menghabiskan masa hampir dua jam ditemubual wartawan Metro Ahad, ISMA ISMAIL, ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan FIRDAUS SAHAT di pejabatnya di Ampang, baru-baru ini. Ikuti luahan AC.

“SAYA tidak menaruh dendam berhubung fitnah yang dilemparkan kepada saya. Ia sedikit pun tidak melemahkan semangat saya untuk meneruskan perniagaan AC Konsortium.

Saya akan meneruskan tugas selaku Pengarah Eksekutif AC Konsortium. Walau apa saja fitnah dilemparkan, saya ada tanggungjawab terhadap keluarga, kakitangan dan ribuan ahli AC Konsortium.

Saya tidak mahu membuat tuduhan siapa memulakan semua itu, tetapi berdasarkan penggunaan ayat dan maklumat disebarkan itu, terutama membabitkan hal perniagaan, saya dapat agak siapa dalangnya.

Jika diikutkan, serangan terhadap saya bermula sejak tahun lalu tetapi ia semakin menjadi-jadi selepas saya terlepas daripada hukuman penjara berkaitan kes syariah baru-baru ini. Mungkin individu itu tak puas hati sebab saya tidak dipenjarakan.

Jika saya dipenjarakan, barangkali individu itu puas kerana dia memang mahu melihat saya menderita. Apa pun, saya membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan biar pihak berkenaan melakukan siasatan.

Cuma, kepada penulis blog yang mencetuskan serangan kepada saya, sila tampil ke depan dan dedahkan identiti. Jangan jadi pengecut! Kata orang, berani kerana benar, takut kerana salah.

Jangan sekadar menunjukkan keberanian dengan penulisan. Saya sendiri tampil memberi kenyataan dan membalas dakwaan yang ditimbulkan. Saya bukan mahu meraih simpati, tetapi apa yang dilakukan terhadap saya adalah keterlaluan. Bukan saya seorang yang terpaksa menanggung kesan fitnah, termasuk ugutan dilemparkan, tetapi juga keluarga dan kakitangan AC Konsortium.

Kenyataan ‘elok sembelih saja kot’ bukan kenyataan yang boleh dibuat main-main. Walaupun penulis blog yang mengeluarkan kenyataan itu mengatakan ia hanya metafora sehari selepas saya buat laporan polis, saya tidak boleh terima.

Penulis yang buat kenyataan itu boleh menganggapnya perkara kecil tetapi tidak bagi sesiapa saja yang ditujukan ayat seperti itu. Terus terang saya katakan, saya, keluarga dan kakitangan AC Konsortium hidup dalam ketakutan.

Saya terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk mengupah pengawal peribadi. Sudah pasti apabila saya mengupah pengawal peribadi, ada nanti yang mengatakan saya berlagak dan mahu tunjuk hebat, tetapi tiada langsung niat seperti itu kerana saya hanya mahu menjaga keselamatan diri, keluarga dan kakitangan seramai 33 orang.

Akibat fitnah yang dilemparkan, saya akui perniagaan saya merosot dalam tempoh sebulan, tetapi kini ia perlahan-lahan bangkit kembali kerana dalam pada ada yang membenci, masih ramai mengetahui situasi sebenar dan memberi sokongan.

Di sini saya mahu menjawab pelbagai dakwaan yang ditimbulkan:

1) Gelang AC Mizal dibeli dengan harga AS$25 (RM78) tetapi dijual RM1,000

Apa yang dipaparkan di blog hanya gambar yang diubahsuai. Harga RM1,000 yang ditawarkan bukan sebab saya tamak, tetapi ia membabitkan pelbagai kos, antaranya kos kotak, operasi dan pemberian bonus. Malah, daripada RM1,000 itu, sebanyak RM500 diberi kepada ahli sebagai komisen.

2) Tiada Lesen Jualan Langsung

Dakwaan saya tiada lesen jualan langsung juga tidak benar. Lesen jualan langsung syarikat saya memang bukan di atas nama AC Konsortium tetapi anak syarikat AC Konsortium, Ilham Prestij Sdn Bhd. Lesen itu tergantung di pejabat saya. Untuk lebih jelas, saya tidak menjalankan perniagaan jualan langsung pemasaran berbilang tingkat (MLM) tetapi pemasaran satu tingkat (SLM). Lesen diberikan bermula dari 16 Mac 2010 hingga 15 Mac 2011.

3) Penjualan gelang AC Mizal di gedung Marks & Spencer, London

Saya tidak beri apa-apa kenyataan bahawa gelang saya dijual di gedung Marks & Spencer, London. Saya hanya kata akan dijual di gedung berkenaan. Ia masih dalam proses perbincangan sebelum menjadi kenyataan. Memang saya ada kata gelang saya dijual di London tetapi dijual kepada orang perseorangan.

4) Testimoni yang ditiru daripada laman web

Testimoni itu dihantar dari London untuk usaha memasuki pasaran di gedung Marks & Spencer. Bukan saya yang menghasilkannya. Manalah saya tahu jika ia ditiru daripada laman web lain.

5) Gelaran Datuk

Kenapa ada yang mahu mempertikaikannya? Saya bukan mahu berlagak menggunakan gelaran berkenaan, tetapi sememangnya ia adalah penganugerahan daripada Sultan Pahang. Saya ada dokumen pengurniaan kebesaran dan pingat negeri Pahang oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang ditandatangani sendiri oleh Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Muhammad Safian Ismail.

Kini, saya menunggu tarikh untuk menerima pengurniaan itu yang dijadualkan untuk sesi kedua pada bulan ini atau Disember nanti.”

http://www.hmetro.com.my/articles/ACjawabdakwaan/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...