Sunday, November 14, 2010

Gadis hilangkan diri gagal lunas hutang ah long



KUALA LUMPUR – Gara-gara terlalu gilakan barangan berjenama, seorang bekas penuntut jurusan penyiaran sanggup meminjam wang mencecah ribuan ringgit dengan ah long bagi mendapatkan apa yang diingini.

Bukan sekadar berhutang dengan ah Long, gadis itu, Leong Seed Ling, 24, juga sering menipu bapanya termasuk menjual segala barangan berharga dalam rumah bagi mendapatkan wang tambahan untuk dia berjoli.

Bapa gadis itu, seorang juruteknik yang hanya mahu dikenali sebagai Kim Seng, 53, berkata, selama ini anaknya memang tidak mendengar kata malah tidak pernah membantunya sama ada dari segi perbelanjaan atau keperluan harian.

Katanya, selepas kematian isterinya tahun lalu, perangai Seed Ling semakin menjadi-jadi sehingga dia menyedari perbuatan anaknya menjual pelbagai barangan berharga dalam rumah.

“Dia jual antaranya, pencetak, komputer, pemain video cakera padat digital (DVD) dan minuman keras berjenama untuk dapatkan duit.

“Bila saya sedar semua barang dalam rumah hilang, dia nafikan dia jual tapi bagi pinjam pada kawan. Disebabkan terlalu geram, saya pernah halau dia dari rumah kerana kelakuan dia yang melampau tetapi tidak diendahkan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Kim Seng berkata, pada 20 September lalu, Seed Ling yang juga pekerja sebuah butik itu, menghilangkan diri dan gagal dihubungi sehingga sekarang.

“Saya tak tahu dia ke mana sehinggalah ah Long datang ke rumah menuntut hutang serta mengugut saya sekeluarga. Rumah kami disimbah cat dan setiap hari hidup dalam ketakutan,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia mengetahui Seed Ling pernah berhutang dengan ah Long dan pernah membantunya melangsaikan hutang itu lebih RM15,000 dengan menggunakan wang insurans yang dibeli mendiang isteri.

Katanya, dia tidak menyangka anaknya itu tidak serik dan terus berhutang sebelum melarikan diri kerana gagal melunaskan hutang terbabit.

Kim Seng berkata, dia tidak menolak kegilaan anaknya terhadap pelbagai barangan berjenama termasuk pengaruh kawan, menyebabkan dia lupa diri dan sanggup berhutang dengan ah Long.

“Saya kesal dengan apa yang berlaku kerana sudah banyak saya berkorban untuk menghantar dia belajar tetapi dia berhenti separuh jalan. Dia mahu belajar di bidang kecantikan, saya beri dia duit tapi akhirnya disia-siakan,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa memutuskan hubungannya dengan Seed Ling kerana sudah tidak tahan diancam ah Long.

Katanya, dia merayu agar ah Long berhenti mengganggunya dan terus mencari Seed Ling jika mahu hutangnya dibayar.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, bagi tempoh Januari sehingga semalam, pihaknya menerima aduan 261 kes membabitkan ah Long termasuk nilai berjumlah RM26 juta.

“Ini adalah penurunan 226 kes berbanding tahun lalu. Bagi tahun ini terdapat enam kes yang membabitkan ahli keluarga memutuskan hubungan dengan suami, bapa dan anak kerana menjadi mangsa ugutan ah Long,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...