Sunday, November 14, 2010

Sindiket penculikan palsu aktif



KUALA LUMPUR – Satu sindiket penculikan palsu dikesan bergiat aktif di sekitar Kep:ong dan Jinjang, di sini, sejak sebulan lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, lima kes membabitkan kerugian melebihi RM100,000 dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan dan sasaran suspek adalah golongan suri rumah berusia lingkungan 50-an.

Katanya, daripada jumlah berkenaan, empat kes dilaporkan di Kepong, manakala satu kes lagi dicatatkan di Jinjang, di sini.

“Sindiket berkenaan menggunakan modus operandi yang sama iaitu menghubungi mangsa menggunakan nombor telefon pelik dan mendakwa ahli keluarga mangsa diculik mereka.

“Suspek kemudian mengugut untuk memukul mangsa culik dan meminta sejumlah wang sebagai jaminan untuk tidak mencederakan serta melepaskan individu terbabit,” katanya selepas menyerahkan 30 motosikal kepada anggota unit ‘First Response Team’ (FRM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, semalam.

Beliau berkata, sindiket berkenaan juga mengugut mangsa supaya tidak meletakkan telefon sehingga arahan membawa sejumlah wang ke lokasi yang ditetapkan, dipatuhi.

Menurutnya, mangsa kemudiannya akan pulang ke rumah sebelum mendapati keluarga mereka terselamat dan tidak diculik seperti yang didakwa suspek sebelum ini.

“Selepas itu, barulah mangsa membuat laporan polis kerana berasa tertipu.

“Setakat ini, jumlah pemerasan wang tertinggi antara lima kes yang dilaporkan sebanyak RM30,000,” katanya.

Dalam kes terbaru, Zakaria berkata, seorang suri rumah berusia 54 tahun kerugian RM5,000 selepas menerima panggilan telefon dipercayai daripada anggota sindiket terbabit mendakwa anak lelakinya berusia lingkungan 30-an diculik.

Katanya, mangsa kemudiannya mengeluarkan tunai di bank sebelum memasukkan wang terbabit ke dalam tong sampah sebuah restoran di Kepong.

“Apabila pulang ke rumah, wanita itu mendapati anaknya tidak diculik seperti yang didakwa, lalu membuat laporan polis.

“Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti identiti suspek dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...