Sunday, November 14, 2010

Laporan tidak benar



KAPAR – Laporan dalam sebuah akhbar arus Perdana semalam yang mengaitkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mustaffa Kamil Ayub bersama Datuk Zaid Ibrahim mendesak Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali meletak jawatan dalam PKR tidak benar sama sekali.

Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ahmad Kamaruddin berkata, Mustaffa Kamil tidak sekali terlibat kerana dalam gambar berkenaan beliau memegang satu memorandum yang mendesak agar Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) menangguhkan Majlis Pemilihan Pusat (MPP) 2010 ini atas beberapa alasan.

“Kebetulan dalam sidang media itu dia terlibat bersama Datuk Zaid Ibrahim untuk membuat penjelasan berhubung perkara itu.

“Berkaitan desakan peletakan jawatan kepada Anwar dan Azmin itu hanya dilakukan dan disuarakan Zaid bukannya Mustaffa. Mustaffa hanya hadir menyatakan desakan kepada JPP sahaja dan beliau langsung tidak terlibat atau bersekongkol dengan Zaid,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Ranting PKR Cabang Kapar, Mohd Fauzi Abd Majid berkata, pihaknya kesal dengan laporan dalam akhbar berkenaan yang bertindak seperti melaga-lagakan pemimpin dalam PKR.

“Ketika sidang media yang diadakan kelmarin di rumah Zaid, saya dan beberapa rakan lain turut sama berada di situ dan kami maklum mengenai isu yang bakal disuarakan dalam sidang media itu.

“Malah kami juga melihat dan membaca isi kandungan memorandum berkenaan dan Mustaffa sama sekali tidak pernah membuat desakan peletakan jawatan kepada dua pemimpin tertinggi itu,” katanya.

Menurutnya, perkara itu boleh menimbulkan salah faham ahli parti dan orang ramai yang mungkin melabelkan Mustaffa tidak menghormati Penasihat Parti.

“Memang betul beliau bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden PKR dalam MPP ini menentang Azmin namun itu hanya sekadar mencalonkan diri kerana beliau juga seorang yang berkaliber dan mempunyai pengikut yang tersendiri.

“Kalah atau menang itu adalah adat dalam pertandingan. Tidak timbul sifat menentang antara satu sama lain kerana persaingan adalah sihat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta ahli dan pemimpin hadir beramai-ramai untuk pemilihan MPP 2010 yang berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Klang (MPK) Sungai Pinang, Klang Ahad ini. Undian bakal menentukan pemimpin yang bakal menerajui MPP 2010.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...