SHAH ALAM: “Saya hanya mampu tunduk dan menangis selepas diugut bunuh,” kata Salim Al Makmun, 28, pekerja stesen minyak yang juga mangsa samun tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 16 tahun, di Jalan Glenmarie U1/1, di sini, semalam.
Warga Bangladesh itu mendakwa, kejadian berlaku kira-kira jam 3.35 pagi ketika dia bersama rakannya, Mohd Rafiqul Islam, 25, tidur di dalam stesen minyak sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat akibat kaca pecah.
“Rakan saya kemudian melarikan diri dan bersembunyi dalam stor, manakala saya tidak sempat berbuat apa-apa selepas dikepung dua lelaki bertopeng.
“Lelaki bertopeng itu mengugut akan membunuh saya jika melawan, menyebabkan saya tunduk menggeletar sambil menangis,” katanya.
Semua penjenayah terbabit bagaimanapun berjaya ditembak mati polis di Jalan Kerjaya, di sini, sejurus selesai melakukan samun.
Salim yang sudah dua tahun bekerja di stesen minyak itu mendakwa penjenayah terbabit memecahkan cermin kedai menggunakan tukul sebelum masuk.
“Mereka ada parang, tapi saya tidak dapat mengecam muka mereka kerana dua memakai topeng dan seorang lagi memakai topi keledar.
“Saya hanya menuruti kehendak mereka dan tak mampu buat apa-apa. Mereka ambil wang, rokok dan telefon bimbit saya sebelum melarikan diri,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.
Aksi suspek terbabit menyamun berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan ia kini diambil polis bagi dijadikan bukti berhubung kejadian itu.
Pengawal keselamatan, Amar Singh, 68, pula berkata, pada mulanya dia menyangka bunyi dentuman kuat adalah mercun, sebelum beberapa anggota polis ke pondoknya berkawal memintanya dia tidak keluar.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Menggeletarsambilmenangis/Article/index_html
No comments:
Post a Comment