Sunday, November 14, 2010

Cuti tidak dilanjutkan

YOGYAKARTA: Cuti untuk kumpulan pelajar Malaysia yang dihantar pulang ke tanah air berikutan letusan dahsyat Gunung Merapi pada 5 November lalu kekal sehingga hari ini dan tidak dilanjutkan.

Bagaimanapun, pihak Universiti Gadjah Mada (UGM) Yogyakarta memberi kelonggaran kepada mereka yang menghadapi kesukaran untuk kembali ke kampus itu bagi menghadiri kuliah pada Isnin ini, kata Pengarah Education Malaysia di Indonesia (EM) Datuk Dr Junaidy Abu Bakar.


“Kelonggaran diberi jika pelajar menghadapi kesukaran untuk hadir kelas Isnin ini iaitu sekiranya mereka merasakan keadaan masih tidak selamat dan menjejaskan kesihatan, manakala bagi pelajar yang berada di luar Yogyakarta pula jika berdepan masalah pengangkutan untuk datang ke Yogyakarta,” katanya.

Dalam satu kenyataan di sini beliau berkata, universiti itu menasihatkan pelajar yang sukar pulang untuk kuliah pada Isnin ini supaya mengikuti kuliah secara online melalui sistem GAMEL dan memuat turun bahan kuliah fakulti masing-masing.


Katanya, jadual peperiksaan pula bergantung kepada fakulti dan tahun pendaftaran bagi pelajar berkenaan kerana tarikhnya berbeza bagi setiap tahun pendaftaran.


“Bagi pelajar ko-as (program latihan klinikal) pula, cuti yang diberi hanyalah sampai hari ini. “Sekiranya tidak datang mereka dikehendaki mengulang program berkenaan dan bagi Ujian Remedial yang dijadualkan diadakan Isnin, pihak fakulti akan menjadualkan semula ujian itu,” kata beliau.

Sebelum ini Education Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Mara memohon kepada UGM supaya 378 pelajar yang dibawa pulang ke Malaysia pada 7 November lalu dibenarkan berada di tanah air sehingga 21 November bagi membolehkan mereka menenangkan diri daripada trauma letusan Merapi, sekali gus menyambut hari raya Aidiladha bersama keluarga.


“Saya menasihatkan pelajar mengulang kaji dengan serius untuk semua subjek yang berkaitan supaya tidak tertinggal dalam pelajaran,” kata Dr Junaidy.- Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Cutitidakdilanjutkan/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...