Sunday, November 14, 2010

Peratusan mengundi di cabang Zaid amat lembab

Abdul Rahim Sabri
Nov 13, 10
3:37pm

Proses pengundian di cabang PKR Wangsa Maju berlangsung dengan baik walaupun kehadiran anggota untuk memilih anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan sayap parti amat lembab.

Bagaimanapun, rata-rata anggota akar umbi yang ditemuiMalaysiakini di tempat pengundian di Taman Melati menafikan faktor penarikan ketua cabang mereka sebelum ini Datuk Zaid Ibrahim menjadi faktor kurangnya kehadiran pengundi.

Malaysiakinidifahamkam, sehingga jam 4 petang tadi apabila peti undi ditutup, hanya 44 daripada 1,368 anggota keluar memilih pucuk pimpinan parti.

Ini bermakna keputusan keluar mengundi hanya kira-kira 3 peratus, kemungkinan antara yang terendah setakat ini.

Menurut Ketua Pemuda PKR (AMK) Wangsa Maju Mohd Hamdi Mohd Said, kehadiran pengundi perlahan, bukan disebabkan penarikan diri Zaid bertanding jawatan timbalan presiden.

"Mungkin mereka (anggota) mempunyai urusan lain... Cabang Wangsa Maju telah mengadakan mesyuarat, kita tidak ada masalah (dengan penarikan Zaid).

"Kita terus berjuang kerana sebelum ini pun berjuang tanpa beliau," katanya ketika ditemui Malaysiakini di pusat pengundian itu tengah hari tadi.

Mohd Hamdi - antara pengasas cabang berkenaan - sebelum ini menjangkakan lebih ramai akan keluar mengundi selepas jam 2 petang.

Bagaimanapun, ia terbukti meleset akhirnya.

Terlalu kecewa

Manakala timbalan ketua cabang Wangsa Maju Mazlan Abdul Jalil pula berkata akar umbi di cabang itu kecewa dengan keputusan Zaid mengundurkan diri.

"(Malah) kenyataan beliau sebelum ini (pun) juga tidak sealiran dengan ahli yang berjuang sejak awal reformasi dahulu," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat membaca pilihan hati akar umbi sama ada akan menyokong Azmin Ali atau Mustaffa Kamil Ayub.

Pada pandangannya, rata-rata akar umbi di sini akan memilih "tokoh reformis yang betul-betul memperjuangkan hasrat parti".

Sementara itu, pemimpin ranting di cabang itu Mazlan Harun pula kelihatan terlalu kecewa dengan bekas bosnya di cabang itu.

"Saya lebih suka dia (Zaid) keluar PKR. Kami berjuang 24 jam pada parti. Dia orang baru, kita ini orang lama," katanya.

Pada minggu pertama pemilihan PKR, peratusan keluar mengundi hanya sekitar sembilan peratus manakala pada minggu kedua pula meningkat kepada 12 peratus.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...