Sunday, November 14, 2010

Ribuan sambut pembebasan Suu Kyi


SEBAHAGIAN penyokong pemimpin prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi yang berkumpul di hadapan rumahnya di Yangon semalam. - AP


YANGON - Pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi disambut lebih lima ribu penyokong di luar kediamannya di sini semalam selepas dipercayai dibebaskan daripada tahanan rumah tujuh tahun oleh junta tentera Myanmar.

Suu Kyi yang memakai jaket tradisional Myanmar, tersenyum sambil melambai kepada para penyokongnya ketika muncul di halaman rumahnya dengan disambut sorakan gamat mereka yang kemudian melaungkan slogan "Hidup Aung San Suu Kyi".

Beliau kemudian menyeru mereka supaya meneruskan perjuangan ke arah membina demokrasi di Myanmar.

"Ada masa untuk membisu dan ada masa untuk bersuara. Rakyat perlu bersatu. Hanya dengan cara ini, kita dapat mencapai matlamat kita (demokrasi)," kata Suu Kyi kepada para penyokongnya sebelum masuk semula ke rumah dengan diiringi pegawai-pegawai kanan parti Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD) pimpinannya.

Dalam ucapannya, ikon demokrasi Myanmar itu turut mengundang orang ramai supaya hadir di ibu pejabat NLD hari ini bagi untuk mendengar beliau berucap.

"Saya menganggap Suu Kyi sebagai ibu, kakak dan nenek saya kerana beliau ialah anak perempuan pemimpin kemerdekaan kami, mendiang Jeneral Aung San," kata seorang penyokong pemimpin berkenaan, Naing Naing Win, 45.


PEMIMPIN prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi berdiri di pagar rumahnya di Yangon Myanmar selepas dibebaskan daripada tahanan rumah semalam. - AP


Terdahulu, pihak berkuasa mengundurkan pasukan polis dan turut membuka sekatan-sekatan di hadapan rumahnya sekali gus membayangkan beliau kini bebas daripada tahanan rumah walaupun tanpa pengesahan rasmi oleh pihak junta.

Suu Kyi yang pernah dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan, menghabiskan 15 tahun kehidupannya dalam tahanan sepanjang 21 tahun lalu.

Penahanan terbaru Suu Kyi, 65, berlaku pada Ogos lalu apabila sebuah mahkamah mendapati beliau melanggar undang-undang keselamatan negara kerana membenarkan seorang seorang penceroboh warga Amerika Syarikat (AS), tinggal di rumahnya selama dua malam.

Sementara itu, para pemimpin Barat menyambut baik pembebasan ikon demokrasi Myanmar itu dengan Perdana Menteri Britain, David Cameron menyifatkannya sebagai 'terlalu lewat' manakala Presiden Perancis Nicholas Sarkozy memberi amaran supaya pihak junta tidak membatasi pergerakan Suu Kyi.

Turut menanti pembebasan Suu Kyi di Thailand ialah anak lelaki bongsunya, Kim Aris, yang tidak berpeluang melawat ibunya sejak 10 tahun lalu.

Mendiang suami Suu Kyi, Michael Aris membesarkan dua anak lelaki mereka di England sebelum meninggal dunia akibat kanser pada 1999. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1114&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...