Sunday, November 14, 2010

JPJ bantu mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengecualikan bayaran bagi mendapatkan salinan lesen belajar memandu, lesen percubaan dan Lesen Memandu Kompeten (CDL), Lesen Vokasional, Lesen Kenderaan Motor dan Perakuan Pendaftaran Kenderaan kepada mangsa-mangsa banjir di Kedah dan Perlis.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, pengecualian itu diberikan untuk membantu meringankan beban mangsa banjir yang kehilangan dokumen berkaitan kenderaan dan lesen memandu.


“Dianggarkan 4,200 keluarga dari Kedah dan 4,500 keluarga dari Perlis yang terbabit dalam tragedi itu dan dianggarkan 50 peratus daripada mangsa dari setiap negeri kehilangan dokumen,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, jumlah pengecualian bayaran itu dianggarkan RM600,000.


“Sehubungan itu, JPJ membuka kaunter sementara di pusat penempatan sementara mangsa banjir untuk memberi khidmat nasihat, mengedar serta memproses borang permohonan supaya mangsa dapat mendapatkan salinan dokumen yang diperlukan,” katanya.


Kong berkata, JPJ juga turut menerima permohonan daripada kaunter sementara JPJ dan memproses pengeluaran salinan di pejabat JPJ berdekatan dalam tempoh seberapa segera.

“Bagi mengesahkan kesahihan permohonan, pemunya berdaftar hendaklah hadir atau membawa surat wakil kuasa jika syarikat, dengan membawa dokumen asal yang rosak atau laporan polis untuk gantian perakuan pendaftaran jika dokumen hilang,” katanya.-Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/JPJbantumangsabanjir/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...