Sunday, November 14, 2010

Bandar Satelit Islam dijangka siap 2012

Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 11 Nov: Kemajuan Projek Bandar Stalite Islam, Pasir Tumboh kini telah sampai ke tahap 40 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir 2012 atau pun awal 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan berkata, projek itu sebagai penambahbaikan kepada Pondok Pasir Tumboh, dengan mengekalkan struktur asalnya.

“Dijadikan sebagai tempat ibadat, pusat pengajian agama Islam, dilengkapkan dengan hotel serta kedai,” katanya pada persidangan Dun, kelmarin.

Beliau berkata, Projek Bandar Satelit Islam satu projek usahasama antara Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dengan sebuah syarikat swasta, MSO Corporation Sdn Bhd.

Sementara Produk Pelancongan Kandis, Bachok seluas tujuh ekar dalam kawasan Pondok Moden (Pusat Pengajian Pondok), Bachok pula dibangunkan dengan kos RM18 juta.

Dibangunkan hotel apartmen yang ketinggiannya 16 tingkat, mempunyai 107 unit bilik apartmen, sama ada berbentuk satu bilik, dua bilik dan juga tiga bilik bagi satu-satu unit, terletak di dalam kawasan Pondok yang berkonsepkan berkonsepkan ‘Bakti Katil’ dan ‘Perkongsian Masa’ (times sharing syarie) di samping disediakan untuk pesara-pesara dan pelajar IPTA.

“Dengan konsep ‘Bakti Katil’ di mana sasarannya ialah untuk jutawan anak-anak Kelantan yang berada di perantauan, mereka boleh menempatkan keluarga mereka, manakala konsep ‘Perkongsian Masa’ pula membolehkan pembeli memberi sewa kepada orang lain atau menetap sendiri dalam tempoh beberapa hari atau waktu.

“Sementara ‘Hotel Untuk Pesara’ pula membolehkan sama ada pesara berkenaan menetap di situ atau menetap ketika pulang dari perantauan.

“Dan pembinaan hotel itu ‘mengadunkan’ suasana antara masjid dan pondok serta antara laut dan kawasan rekreasi untuk percutian,” katanya.

Mengenai pelancongan kesihatan, Takiyuddin menjelaskan bahawa pihak kerajaan negeri tidak bermasalah dalam membangunkan sektor itu.

“Setakat ini kerjasama dengan pihak Kementerian Pelancongan tidak timbul masalah,” katanya.

Kemasukan pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini pada 2009 ialah seramai 4.8 juta orang yang terdiri daripada 4.2 juta pelancong domestik, manakala pelancong antarabangsa ialah 0.6 juta.

Sementara itu, jumlah kemasukan pelancong bagi 2010 ialah 78.76 peratus.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29425:bandar-satelit-islam-dijangka-siap-2012&catid=51:negeri-kelantan-darul-naim&Itemid=96

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...