Sunday, November 14, 2010

Farah & Bashirun sah suami isteri



DENGAN hanya sekali lafaz, aktres muda, Raja Farah Raja Abdul Aziz, 22, kini sudah bergelar isteri yang sah kepada Megat Bashirun Qhuyum Zakaria, 25.

Majlis pernikahan yang cukup indah dan harmoni itu berlangsung dengan lancarnya di kediaman pengantin perempuan di Bukit Jelutung, kira-kira jam 11 pagi.

Farah yang anggun mengenakan busana putih biru rekaan Shahrir Norden, dinikahkan oleh bapanya sendiri, Raja Abdul Aziz Raja Ngah, 53, dengan mas kahwin RM888.

Pasangan ini dinikahkan di hadapan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Pejabat Agama Islam, Daerah Petaling, Rosly Mohd Arus.

Tanpa mendedahkan jumlah wang hantaran, Raja Farah, turut menerima tujuh barang hantaran lain daripada pihak lelaki iaitu, cincin, iPhone 4, wangian dan solekan jenama Dior, telekung dan set persalinan, al-Quran bersama tasbih, pulut kuning dan sirih junjung.

Sementara itu, pihak lelaki dibalas sembilan hantaran, iaitu sejadah dan kain pelekat, al-Quran dan tasbih, iPhone 4, kek, dompet jenama Dunhill dan jam tangan jenama Tissot.

Seusai majlis akad nikah, Farah dan Bashirun yang ditemui meluahkan rasa syukur dan gembira kerana majlis pernikahan mereka berjalan lancar.

Ternyata usia yang muda bukanlah menjadi penghalang untuk mereka menempuh fasa perkahwinan.

“Ia tak jadi masalah kerana kami sudah sama-sama mencintai dan menyayangi. Insya-Allah kami akan meminta nasihat daripada orang tua,” kata Farah yang terpikat dengan Bashirun kerana sikapnya yang suka mengambil berat serta ada pegangan agama yang kuat.

Bagi Bashirun pula, dia tidak menafikan rupa paras yang dimiliki Farah membuatkan hatinya terpaut untuk menyunting gadis itu sebagai suri hidupnya. Malah, dia juga sudah bersedia mengharungi segala dugaan, memandangkan suri hidupnya itu bukanlah gadis biasa.

“Saya kenal Farah sebagai artis, jadi saya bersedia menerima semua dugaan. Sebelum kami kahwin pun dah ada gosip buruk yang datang dan tempiasnya turut dirasai saya,” kata Bashirun yang mengenali Farah sejak lapan bulan lalu.

Selepas berkahwin, Farah akan tetap meneruskan karier seninya seperti biasa, malah suaminya juga tidak pernah menghalang. Namun, bersesuaian dengan statusnya yang kini bergelar isteri orang, ada beberapa syarat yang harus dipatuhi bagi menjaga keharmonian rumah tangga.

“Saya harus berbincang dengan suami dulu sebelum menerima apa-apa watak dan tempoh penggambaran juga tidak harus terlalu lama. Bagi Farah, suami memang patut didahulukan,” katanya yang akan sibuk dengan penggambaran Kau dan Aku 2 sehingga hujung tahun ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...