Monday, January 10, 2011

BAM risau penaja jauh diri

TANPA kelibat pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mungkin berdepan kesukaran mendapatkan penajaan.

Hal itu diakui sendiri Bendahari Kehormat Datuk Lim Teong Kiat namun beliau berkata itu bukan halangan untuk persatuan mendapatkan tajaan.


“Memang jika Chong Wei tidak lagi bersama BAM, urusan penajaan sedikit sukar kerana syarikat penaja akan mempunyai pandangan berbeza berbanding sekarang,” kata Teong Kiat menjawab soalan sekiranya naib juara Olimpik itu mengikut jejak jurulatihnya Datuk Misbun Sidek meninggalkan BAM.

Begitupun, Teong Kiat berkata mencari penajaan sememangnya menjadi tugas persatuan dan ketiadaan Chong Wei tidak boleh dijadikan alasan.


“Kami dalam persatuan perlu bekerja lebih keras jika itu terjadi. Persatuan perlukan dana untuk bangunkan akar umbi.” Bagaimanapun Teong Kiat berharap semua pihak tidak membuat spekulasi mengenai isu peletakan jawatan Misbun dan kemungkinan Chong Wei meninggalkan persatuan selepas pemain itu sendiri menyuarakan hasrat mengikut jejak jurulatihnya.


Namun jika benar perkara itu berlaku, bendahari itu berkata persatuan hanya perlu mencari penaja lain yang mahu menaja.

“Jika dia (Chong Wei) pergi pasti penaja juga ikut, memanglah kantung persatuan sedikit kurang tapi kita perlu segera cari penaja lain, itu bukan masalah,” kata Teong Kiat yang dihubungi ketika berada Alor Setar, Kedah.


Beliau menganggap Chong Wei banyak pengalaman selain berada di ranking tertinggi dunia boleh buat pilihan ke mana arah tuju kerana pasti tidak akan melupakan tanggungjawab kepada negara.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/BAMrisaupenajajauhdiri/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...