JOHOR BAHRU: “Sejak petang semalam (kelmarin), kami hanya meneguk teh-o bagi mengisi perut. Sebelum itu anak sulung pernah meluahkan hasrat untuk mencuri sardin dari kedai runcit berhampiran kerana kami semua kelaparan,” kata penghidap HIV, Roslina Abu Bakar, 40, ketika ditemui di rumah sewanya di Flat Taman Selesa Jaya, Skudai di sini, semalam.
Roslina yang berasal dari Gelang Patah tidak mempunyai pekerjaan tetap dan kini menanggung empat anak berusia antara lapan dan 18 tahun selepas ditinggal suami enam tahun lalu.
Menurutnya, mereka sekeluarga kini terpaksa menahan lapar, malah ada kalanya tidak menjamah makanan selama beberapa hari.
“Walaupun lapar, saya menghalang anak sulung mencuri makanan. Saya usahakan dengan bekerja sambilan dengan mana-mana pihak yang sanggup menawarkan pekerjaan.
“Bukan mudah mendapat kerja walaupun sambilan memandangkan ramai memandang serong kerana saya penghidap HIV,” katanya.
Akibat kedaifan hidup juga, semua empat anak Roslina gagal mendapatkan peluang pendidikan, lebih menyedihkannya apabila anaknya yang sulung berhenti sekolah selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Anak keduanya pula berhenti ketika berada di tahun dua manakala anak ketiga dan bongsu pula tidak pernah bersekolah.
“Saya ada membuat permohonan kepada banyak pihak untuk membantu persekolahan anak, tetapi semuanya tiada jawapan malah ada yang berdalih memberikan pelbagai alasan.
“Saya merayu kepada mana-mana pihak membantu anak kerana pendidikan penting buat mereka, jangan pinggirkan mereka kerana membenci saya,” katanya.
Menceritakan detik permulaan kesukaran hidup mereka sekeluarga, Roslina mengatakan dia ditinggal suami selepas rahsia lelaki terbabit menghidap HIV diketahui umum.
Pada masa sama, suaminya itu turut melarikan empat sijil kelahiran anak mereka sebelum dijual dan tidak lama kemudian, mereka sekeluarga diusir anggota keluarga sendiri dari kediaman sewa, malah ada yang tidak mengaku saudara.
“Mereka mungkin bimbang penyakit ini berjangkit dan kerana itu sanggup meminggirkan kami sekeluarga, sejak itu, kami hidup berpindah randah,” katanya.
Roslina memohon pihak bersimpati supaya membantu persekolahan anaknya kerana mereka semua bebas dari HIV dan wajar diberikan peluang menjalani kehidupan normal serta lebih bermakna demi masa depan masing-masing.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lelakijualsijillahir4anak/Article/index_html
No comments:
Post a Comment