Tinjauan Sinar Harian di Pasar Besar Temerloh, pekan sehari dan beberapa pasar raya semalam menunjukkan harga bawang kekal tinggi.
Di Pekan Sehari Temerloh harga bawang putih dijual antara RM8 hingga RM10 bagi sekilogram manakala bagi seguni bawang putih dijual pada harga RM35.
Harga bawang kecil Burma naik dari RM8.50 kepada RM20 seguni juga harga bawang besar dari RM6.50 kepada RM18 seguni.
Naik lima ganda
Tinjauan Sinar Harian ke Pasar Besar Temerloh menunjukkan orang ramai mula merungut dengan harga bawang yang meningkat lebih lima kali ganda.
Seorang pengunjung, Zainor Rashid Abdullah, berkata, dia juga terkejut apabila mendapat tahu harga bawang putih meningkat daripada RM6.50 seguni kepada RM35 sekarang.
“Dengan keadaan harga barang yang semakin mendadak sekarang sudah tentu merunsingkan orang ramai khususnya mereka yang nak buat kenduri.
“Harga bawang meningkat tak munasabah melampau sudah tentu merumitkan lagi keadaan,” katanya.
Bagi Zulkafli Abdullah, 43, bulan lalu dia membeli bawang putih dengan harga RM10 sekilogram.
Menurutnya, paling terkejut dengan harga bawang yang meningkat naik sejak dua bulan lalu. Hal itu sudah tentu membebankan rakyat yang berpendapatan kecil sepertinya.
Peniaga, Ali Hussin Gulam Ali, 64, berkata, dia menerima bekalan bawang putih dengan harga RM35 seguni dan terpaksa jual dengan harga RM10 sekilogram.
Menurutnya, harga bawang kecil Burma pun naik dari RM8.50 kepada RM20 seguni juga harga bawang besar dari RM6.50 kepada RM18 seguni.
“Hal ini tidak dapat dielakkan lagi kerana kami tetap berniaga dan mengambil dari pemborong. Entah apa sebabnya kami mana tahu.
“Ramai yang merungut dengan harga bawang dan beberapa barang lain yang naik mendadak sejak kebelakangan ini.
“Punca yang jelas dilihat ialah harga minyak mentah yang meningkat naik, bila harga bahan api ini naik sudah tentu harga barang lain juga akan naik,” katanya.
Pelanggan harap harga akan turun
Orang ramai yang ditemui melahirkan harapan supaya harga beberapa barang keperluan terutamanya bawang akan menurun sedikit masa lagi.
Seorang pelangan, Hamid Harun, 44 berkata, harga bawang yang terlalu tinggi di pasaran sekarang mungkin disebabkan faktor cuaca di negara yang mengeksport bahan itu.
Menurutnya, keadaan cuaca di beberapa kawasan seperti di India dan Pakistan tidak menentu sejak kebelakangan ini menyebabkan harga bawang meningkat tinggi.
“Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang bawang yang dibawa ke Malaysia banyak rosak dan terpaksa dibuang.
“Ada peniaga mengatakan bawang yang sampai dalam guni terpaksa dipilih dan hanya separuh sahaja yang boleh dijual semula.
“Keadaan ini tentu menyukarkan peniaga yang terpaksa menjual pada harga tinggi. Mereka tidak boleh dipersalahkan kerana harga bawang yang sampai memang sudah tinggi,” katanya.
Seorang lagi pelanggan, Mat Lazim Othman, 57, berkata, dalam tempoh sebulan dua lagi harga bawang dijangka akan kembali turun.
Menurutnya, harga yang tinggi sejak Hari Raya Aidiladha lalu terus meningkat pada bulan Disember pada ketika orang ramai subuk mengadakan majlis kahwin.
“Permintaan di pasaran yang banyak tetapi pada masa sama barangan yang ada terhad menyebabkan harganya melambung ke paras tinggi.
“Saya pun mengharapkan harga bawang akan turun sedikit masa lagi kerana dengan berpendapatan kecil susah untuk membeli keperluan lain yang juga mahal harganya,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/sh/pahang/content/story8600940.asp
No comments:
Post a Comment