Monday, January 10, 2011

Penipu tak serik dicekup

JOHOR BAHRU: Hukuman penjara dua tahun pada 2004 kerana menipu belum cukup menjadi pengajaran buat seorang lelaki yang kembali memperdayakan individu lain, baru-baru ini, bagi mendapatkan wang mudah tidak lama selepas dibebaskan.

Bekas kakitangan Syarikat Air Johor (SAJ) itu dipercayai memperdayakan sekurang-kurangnya tujuh individu membabitkan kerugian RM250,000.


Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin berkata, taktik lelaki terbabit mudah dengan meyakinkan mangsa untuk mengeluarkan modal kononnya sebagai rakan kongsi bagi mendapatkan kontrak daripada SAJ.

“Suspek menawarkan kontrak memasang paip air, tetapi mangsa mula sangsi kerana lelaki terbabit gagal dihubungi selepas mereka menyerahkan wang kepadanya.


“Bertindak atas tujuh laporan polis dibuat mangsa, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian melakukan risikan sebelum menahan suspek di satu lokasi di bandar ini jam 2.45 petang, Khamis lalu,” katanya di sini, semalam.


Menurut Zahaliman, semakan dilakukan dengan syarikat utiliti berkenaan mendapati tiada sebarang dokumen dikeluarkan berkaitan kontrak ditawarkan suspek.

Suspek berumur 40-an itu dipercayai turut terbabit satu lagi kes penipuan membabitkan tuntutan insurans.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Peniputakserikdicekup/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...