Monday, January 10, 2011

Chong Wei lakar hatrik

Oleh Mohd Hilmie Hussin

KEBANGGAAN NEGARA...Chong Wei membalut badan dengan Jalur Gemilang ketika upacara penyampaian  trofi di New Taipei, semalam.
KEBANGGAAN NEGARA...Chong Wei membalut badan dengan Jalur Gemilang ketika upacara penyampaian trofi di New Taipei, semalam.

DATUK LEE Chong Wei melakar satu lagi sejarah apabila muncul juara hatrik Siri Super Final 2010 selepas menundukkan jaguh Eropah, Peter Gade di perlawanan akhir di Taiwan, semalam.

Kejuaraan ketiga miliknya itu bermakna dia menyapu bersih kejuaraan perseorangan lelaki sejak dipertandingkan pada 2008.


Pada aksi semalam, Chong Wei menang mudah 21-9, 21-14 dalam masa 40 minit untuk melakar kemenangan ke-14 daripada 15 pertemuan dengan pemain itu.

Jumaat lalu, Chong Wei turut mencapai kemenangan straight set di peringkat kumpulan dan kedua-duanya mempamer persembahan bertenaga di separuh akhir untuk bertemu sekali lagi.


“Ini adalah final, langsung tidak sama dengan peringkat kumpulan kerana kami berdua tidak bermain bersungguh-sungguh di peringkat awal, kata Chong Wei.


Kemenangan ini permulaan baik buat Chong Wei pada pembuka tirai 2011 sebagai penyuntik semangat merangkul lebih banyak kejuaraan.

Kemenangan ini juga bermakna Chong Wei buat kali ketiga menang hadiah wang tunai AS$40,000 (RM122,720). Namun bezanya Chong Wei berseorangan tidak lagi meraikan kejuaraan bersama rakan senegara seperti tahun lalu ketika Wong Mew Choo dan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui yang muncul juara kategori masing-masing.


“Ini adalah persiapan terbaik untuk Terbuka Malaysia minggu depan. Saya dijangka berdepan Lin Dan di separuh akhir, saya tidak mahu fikirkan. Saya akan tempuhi perlawanan satu demi satu,” kata Chong Wei dalam laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Siri Super Terbuka Malaysia akan berlangsung 18 hingga 23 Januari ini, namun walau di mana Chong Wei berada dia tetap ditanya mengenai peletakan jawatan jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek.


“Peletakan jawatan Misbun agak mengganggu fokus saya tapi saya tetap berpegang pada sasaran. Saya harap isu itu berakhir dengan baik,” kata Chong Wei.


Dalam pada itu, China mula menguasai Siri Super Final apabila meraih tiga gelaran dalam acara perseorangan dan beregu wanita serta beregu campuran. Wang Shixian menewaskan Bae Youn Joo (Korea), Wang Xiaoli-Yu Yang menundukkan rakan senegara Cheng- Shu-Zhao Yunlei manakala Zhang Nan-Zhao Yunlei mengatasi Sudket Prapakamil-Saralee Thoungthongkam (Thailand).

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/ChongWeilakarhatrik/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...