Monday, January 10, 2011

Solat Hajat penuh sesak di Stadium Malawati

Ismail Hashim

SHAH ALAM, 9 Jan: Lebih 30 ribu rakyat berhimpun dalam Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana anjuran PAS Pusat yang diadakan di Stadium Malawati, dekat sini sebagai tanda sokongan penuh terhadap kekuatan menegakkan kebenaran dalam negara ini.

Ramai kalangan pimpinan Pakatan Rakyat hadir antaranya Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Timbalan Keadilan, Azmin Ali, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Selepas majlis dimulakan dengan solat Maghrib secara berjamaah di tengah arena diimamkan oleh Ustaz Abdul Hadi, tazkirah disampaikan oleh Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din.

Solat Isyak dan Solat Hajat Perdana diimamkan oleh Ustaz Hadi juga dengan harapan agar Allah SWT. menyelamatkan Malaysia dan Selangor termasuk isu ketidak-adilan yang berlaku di dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar.

Laungan takbir Allahu Akbar berkumandang bagi menyemangati semula suasana himpunan perjuangan Islam yang sememangnya merupakan sumber kekuatan gerakan umat Islam dalam negara selama ini.

Majlis dipengerusikan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dimulakan dengan ucapan Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selaku pengarah program, setakat ini, Tan Sri Khalid dan Tuan Guru Presiden sudah pun berucap.

Sebelum menghadiri program anjuran PAS itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang terlebih dahulu telah mengadakan pertemuan bagi membincangkan soal “pertemuan 24 Disember” lalu di Istana Negara.

Pada sidang media yang diadakan malam tadi, Abdul Hadi berkata, pihaknya telah menjelaskan “pertemuan 24 Disember itu” kepada Pakatan Rakyat.

“Kita sudah maklumkan, kita juga sudah buat kenyataan terbuka mengenainya (pertemuan 24 Disember).

“Bila kita maklumkan tidak perlu saya beritahu,” kata Ahli Parlimen Marang.

Dalam ucapannya di majlis itu, Anwar berkata, para pemimpin Umno khasnya presidennya Datuk Seri Najib Razak hanya bermimpi untuk bergabung dengan PAS.

“Najib boleh bermimpi kalau nak ajak PAS (bergabung),” kata Ketua Umum Pakatan Rakyat ini.

“Umno sudah ditimpa mala petaka,” kata Anwar di Stadium Malawati di sini malam tadi.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30253:solat-hajat-penuh-sesak-di-stadium-malawati-&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...