Kenaikan harga yang tidak munasabah itu menyebabkan ramai pengguna di bandar raya ini merungut dan mempersoalkan kewajaran itu kerana membebankan mereka.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, kenaikan harga bawang itu berlaku hampir di semua pasar dan kedai runcit di bandar raya Ipoh.
Peniaga, Nor Asuandy Othman, 30, berkata, bawang kecil yang dulunya dijual pada harga RM2.50 dan RM3 sekilogram kini melambung naik sehingga RM8 sekilogram.
Katanya, sebagai peniaga dia terpaksa memberhentikan pengambilan stok bawang merah kerana harga ditawarkan pemborong terlalu tinggi.
“Saya tidak membeli bawang kecil kerana mahu elak daripada risiko kerosakan bahan mentah itu,” katanya ketika ditemui di pasar Ipoh di sini, semalam.
Bagaimanapun, Nor Asuandy berkata, harga bawang besar sudah menunjukkan penurunan berbanding tiga minggu lalu.
“Tiga minggu lalu harga lima kilogram bawang besar ialah RM20, tetapi hari ini harganya turun kepada RM15,” katanya.
Dia berkata, sayur-sayuran yang lain tidak mengalami kenaikan harga sepertimana berlaku ke atas bawang.
“Selama ini, bawang di import dari negara luar dan apa salahnya jika kita mencari alternatif terbaik untuk menyelesaikan masalah itu dengan segera.
“Sehubungan itu, saya mencadangkan supaya pihak berkenaan untuk menjalankan penyelidikan bagi menanam bawang di negara ini,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Ramlah Tuon, 52, mengambil inisiatif menjual bawang dengan membungkus dalam peket kecil untuk mengelakkan pengguna daripada terkejut kenaikan harga bahan mentah itu.
“Memandangkan harga bawang kecil dan bawang besar naik mendadak, saya menjualnya secara peket kecil supaya pengguna mampu membeli bahan masakan utama itu,” katanya.
Beliau menjual bawang kecil dan bawang besar dengan harga RM2 hingga RM4 dalam peket kecil bagi menarik perhatian pengguna.
Ramlah berkata, dia masih mampu mendapat stok bekalan bawang walaupun ada dalam kalangan peniaga tidak bernasib baik sepertinya.
“Cuma saya bimbang jika harga sayur dan bahan mentah lain akan melambung sehingga melebihi dua kali ganda berbanding harga asal menjelang sambutan Tahun Baru Cina Februari ini,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/sh/perak/content/story8600738.asp
No comments:
Post a Comment