KUALA LUMPUR: “Minyak masak kini dilihat seperti emas, namun apa yang membezakan emas boleh dibeli jika kita mempunyai wang tetapi kini, banyak mana pun duit yang kita ada ia masih tidak dapat membantu untuk mendapatkan bahan masakan itu kerana bekalannya masih sukar diperoleh,” kata seorang pemborong mengulas mengenai kekurangan bekalan minyak masak di pasaran.
Ah Wai, 48, berkata, biarpun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi jaminan tidak berlaku masalah bekalan minyak masak pada bulan ini kerana terdapatnya lebihan 9,000 tan metrik, bekalan yang diterima masih jauh daripada jumlah pesanan yang dibuat.
Katanya, biarpun bekalan minyak masak satu kilogram (kg) dalam kampit semakin pulih, bekalan bahan masakan itu dalam bentuk botol sama ada seberat dua kg atau lima kg masih sukar untuk diperoleh.
“Kami ada menerima penghantaran 450 kotak minyak kampit apabila setiap kotak berisi 17 kampit minyak satu kg, namun ia tidak mencukupi untuk menampung permintaan daripada pelanggan kerana sebelum ini kami memperoleh 700 kotak untuk seminggu. Malah, stok yang ada diletakkan di kaunter dan dihadkan satu kampit bagi setiap pelanggan.
“Kami juga sudah lama tidak menerima bekalan minyak masak dalam botol terutama daripada jenis yang sering menjadi pilihan pengguna. Apa yang ada hanya jenama yang kurang mendapat sambutan itu pun dihantar tiga hari lalu dalam kuantiti lebih 100 kotak, setiap satu mengandungi empat botol minyak seberat lima kg, namun ia tetap laris kerana pelanggan tidak mempunyai pilihan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Bagi pekerja pasar raya, Juli, 25, bekalan minyak masak dalam kampit di pasar raya kembali pulih empat hari lalu biarpun bekalan yang dihantar tidak mengikut jumlah pesanan yang dibuat.
Katanya, bagaimanapun pasar raya berkenaan tidak mendapat bekalan minyak masak dalam botol sejak awal tahun ini sekali gus membuatkan pelanggan berebut membeli dalam bentuk kampit.
“Biarpun kami menerima bekalan secara terhad kerana ditentukan oleh pembekal, kami tidak mengehadkannya kepada pembeli. Tindakan pembekal yang menghantar bekalan secara sedikit demi sedikit selang sehari dan ditambah dengan sikap pelanggan yang membeli dalam kuantiti yang banyak mengakibatkan bahan masakan itu kerap kehabisan,” katanya.
Tinjauan Harian Metro mendapati, kebanyakan pemborong dan peruncit di sekitar ibu kota mula menerima bekalan minyak dalam kampit, namun kini mereka menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan minyak dalam botol. Malah, terdapat sesetengah peruncit masih gagal mendapatkan sebarang bentuk bekalan sejak minggu lalu.
Namun, biarpun sukar mendapatkan bekalan, harga bahan masak itu dilihat tidak menunjukkan sebarang peningkatan sama seperti jaminan dibuat KPDNKK bahawa tidak akan berlaku kenaikan harga apabila minyak dalam kampit masih dijual dengan harga RM2.50 dan RM6.20 bagi minyak masak dijual dalam botol dua kilogram.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sukarbelidalambotol/Article/index_html
No comments:
Post a Comment