RAWAT...Mohd Zamri (hadapan) merawat pengantin perempuan (tengah) yang disampuk sewaktu mengadakan sesi bergambar dalam majlis perkahwinan yang diadakan Jumaat lalu.
MASJID TANAH: Orang ramai yang menyaksikan sesi bergambar pada majlis perkahwinan dua beradik perempuan di sebuah kampung dekat sini, gempar apabila seorang daripada pengantin berkenaan tiba-tiba rebah sebelum diserang histeria.
Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari Jumaat lalu, di pekarangan rumah pasangan pengantin terbabit apabila si kakak berusia 25 tahun terjatuh ketika saudara-mara dan orang ramai menyaksikan majlis yang diadakan sehari sebelum persandingan sebenar.
Saksi kejadian, Abdul Rahman Murad, 37, berkata, sebelum kejadian dia melihat pengantin perempuan berkenaan berkelakuan aneh apabila menangis dan kemudian tersenyum sebelum rebah ke belakang ketika sesi bergambar sedang berlangsung di bawah khemah pengantin.
Menurutnya, ketika itu barulah dia menyedari punca tingkah laku pelik pengantin perempuan berkenaan kerana berulang kali menangis dan tersenyum tanpa sebab, sekali gus menyebabkan orang ramai yang menyaksikan keadaan itu kehairanan.
“Kira-kira 10 minit kemudian, saya lihat dia rebah ke lantai tanpa sempat disambut pengapit pengantin dalam keadaan mata terbeliak dan memandang tajam ke atas menjadikan suasana bertukar kelam-kabut.
“Pengantin itu dipapah masuk ke rumah oleh orang ramai untuk ditenangkan, namun tiba-tiba berlaku keanehan apabila dia menjerit sekuat hati sehingga boleh didengar di dapur sebelum mengilai panjang.
“Dia (pengantin perempuan) meronta untuk cuba melepaskan diri menyebabkan lima lelaki berada di belakang dapur dikerah membantu menghalangnya,” katanya.
Bagi mengelak keadaan lebih buruk, katanya, dia memanggil pengamal perubatan Islam dengan kebenaran keluarga pengantin berkenaan bagi membantu meredakan masalah dihadapi pengantin perempuan bekerja di kilang di Selangor.
Sementara itu, pengamal perubatan Islam, Mohd Zamri Bashir berkata, apabila tiba di rumah pengantin berkenaan kira-kira 20 minit kemudian, dia melihat perubahan pada wanita itu kerana tiba-tiba bangun, namun rebah semula sebelum pengsan.
Menurutnya, dia segera mengubati pengantin perempuan berkenaan dan mendakwa kemungkinan ada pihak tidak puas hati dengan mangsa lalu cuba mengganggu hari bahagianya.
“Pengantin itu dipercayai menjadi mangsa niat jahat seseorang yang sukakannya sebelum ini. Difahamkan wanita itu dulu pernah menolak pinangan orang.
“Selepas mengubatinya selama 45 minit, dia sedar daripada pengsan dan dipulihkan untuk meneruskan majlis persandingan,” katanya.
Bapa pengantin perempuan yang hanya dikenali sebagai Abd Kahar, 68, berkata, dia tidak menyangka kejadian itu berlaku terhadap anak perempuannya ketika sesi bergambar sambil disaksikan saudara-mara dan penduduk kampung.
Menurutnya, sebelum kejadian, anaknya sihat dan seperti biasa, bergurau dengan adiknya berusia 21 tahun yang turut sama bersanding pada hari itu.
“Saya pun tidak pasti sama ada ini perbuatan khianat kerana kami tiada bukti dan tidak mahu menuduh sesiapa. Namun, sebelum ini memang ada seorang pemuda berkenan dengan anak saya tetapi anak saya itu dirisik terlebih dahulu oleh suaminya sekarang,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/articles/Pengantinkenahisteria/Article
No comments:
Post a Comment