Monday, January 10, 2011

Harga bawang melambung



ALOR SETAR - Harga bawang melambung tinggi berikutan bekalan import negara berkurangan disebabkan bencana yang melanda India.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah, Mohd Sakri Salleh berkata, walaupun import negara sedikit susut apabila pengeluaran bawang dari negara itu terjejas, namun bekalan juga diperoleh daripada China bagi menampung permintaan pengguna.

“Kita banyak import bawang dari India, tetapi kita juga dapatkan bekalan dari negara-negara lain. Bekalan bukannya tiada di pasaran cuma harganya naik antara RM6 hingga RM8 bagi 5 kilogram/bungkus bawang besar,” katanya.

Menurutnya, aduan boleh dibuat pada KPDNKK sekiranya harga baru bawang didapati tidak munasabah supaya pihaknya boleh mengambil tindakan sewajarnya.

“Jika naik terlalu tinggi hingga membebankan pengguna, sila laporkan pada unit aduan KPDNKK. Kita juga akan buat pemantauan berterusan supaya dapat elak kenaikan yang terlalu tinggi oleh peniaga yang tidak beretika,” katanya.

Mohd Sakri berkata, pihaknya berharap peniaga tidak mengambil kesempatan daripada situasi ini dengan menaikkan harga sesuka hati.

“Walaupun bawang bukan barang kawalan dan tidak ditetapkan harga siling, namun tidak bermakna harganya boleh dinaikkan tanpa had. Kita akan buat pemantauan lebih kerap terutama menjelang Tahun Baru Cina,” katanya.

Menurutnya, pihaknya yakin bekalan bawang merah, bawang besar mahupun bawang putih mencukupi untuk perayaan Februari ini.

“Pengguna jangan panik sebab bekalan bukan terputus, cuma berkurangan menyebabkan harganya naik sedikit. Gunakanlah secara berhemah dan jika bawang besar harganya terlalu tinggi, gunakan alternatif bawang merah sebagai gantian,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/sh/utr/content/story8600503.asp

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...