Tuesday, September 13, 2011

2 nota dihantar Ling pada kabinet jelaskan kekeliruan

Sep 12, 11 6:37pm

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik telah menghantar dua nota ringkasan kepada Jemaah Menteri pada 2002 untuk menjelaskan beberapa kekeliruan urusan pembelian dan penjualan tanah di Pulau Indah.

Bekas Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Maritim, Kementerian Pengangkutan P Chandrasekaran, 56, berkata selain tujuan itu nota tersebut juga bagi menjelaskan dakwaan yang menyatakan terdapat penipuan oleh Kuala Dimensi Sdn Bhd.

"Ringkasan nota bertajuk "Pengambilan Balik Tanah Pulau Indah Untuk projek Mega Distribution Hub oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK)" itu juga adalah untuk menjelaskan kekeliruan yang mana terdapat dakwaan menyatakan terdapatnya penipuan oleh Kuala Dimensi Sdn Bhd," katanya.

Beliau yang disoal dalam pemeriksaan balas oleh peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Dr Ling berkata dua nota itu dihantar pada 29 Okt 2002 yang mengandungi beberapa maklumat antaranya memaklumkan perjalanan aktiviti kementerian pengangkutan dalam usaha untuk mendapatkan tanah tersebut melalui proses pembelian tanah dengan diiringi oleh pelbagai mesyuarat serta perbincangan aktif antara pihaknya bersama LPK serta KDSB.

Ringkasan nota itu turut menjelaskan bahawa pada 12 Jun 2001 Kementerian Kewangan, telah memutuskan supaya tanah berkenaan diperolehi melalui tindakan pengambilan balik dan bukannya secara pembelian berdasarkan alasan harga tanah tersebut terlalu tinggi dan projek itu tidak akan berdaya maju.

Terdahulu, saksi kelima pendakwaan itu memberitahu bahawa tiada sebarang kesilapan isi kandungan dua nota itu dan beliau tidak pernah menghantar sebarang surat kepada Dr Ling bagi menyatakan terdapatnya kesilapan.

Chandrasekaran turut memaklumkan dia juga tidak pernah melihat sama ada terdapat sebarang surat, nota atau memo daripada saksi keempat iaitu bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan kementerian itu Datuk Abdul Rahman Mohd Noor, 61, LPK, serta peguam yang memaklumkan bahawa terdapat kesilapan dalam dua ringkasan nota berkenaan.

Dr Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada jemaah menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894, yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1,088,456,000, sedangkan dia tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dalam menentukan kadar RM25
skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Dia juga berdepan dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada jemaah menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 Sept dan 6 Nov 2002.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersambung esok.

--Bernama


http://malaysiakini.com/news/175592

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...