Tuesday, September 13, 2011

MoU: Kenapa Umno mahu mengemis idea CPC








Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Sept: PAS mendakwa Parti Komunis China (CPC) tetap berbahaya dan parti itu sejak dahulu sehingga sekarang konsisten menolak fahaman komunis.

Ahli jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar) berkata, Umno bagaimanapun cuba menghalalkan tindakan mereka mengadakan perjanjian persefahaman (MOU) dengan Parti Komunis China pada 5 Ogos 2011.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa Umno baik dengan negara komunis sekarang kerana mereka telah meninggalkan ideologi lama mereka.

Najib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri-Merdeka 2011 di Bukit Mertajam, semalam.

"Apakah Parti Komunis China tidak merbahaya kerana Umno mengadakan hubungan langsung, walaupun ia tetap komunis? Datuk Seri Najib Tun Razak yang cuba hendak menghalalkan tindakan Umno, dengan mengatakan “kita baik dengan negara komunis sekarang kerana mereka telah tinggalkan ideologi lama mereka".

"PAS istiqamah daripada dulu sampai sekarang menolak fahaman komunis. Sedangkan di dalam Umno pernah berlaku penangkapan "tiga Abdul" kerana menjadi tali barut komunis Russia (KGB).

"Setakat hari ini tidak ada ucapan pemimpin PAS yang menyokong komunis dan ditangkap menjadi tali barut komunis walaupun pemimpin Umno pernah menuduh PAS lebih merbahaya daripada komunis," kata beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Idris menegaskan, tidak menjadi kesalahan jika kerajaan Malaysia menjalinkan hubungan baik dengan Negara China namun bukan dengan Parti Komunisnya sehingga berhasrat menghantar genarasi muda untuk belajar dengan parti itu.

"Jika hubungan antara kerajaan Malaysia dengan Kerajaan China tidak mengapa, masalahnya Umno mengadakan hubungan dengan Parti Komunis China pada 5 Oktober 2010. Malahan hendak menghantar generasi muda Umno dari kalangan Putera dan Puteri Umno untuk belajar dengan Parti Komunis China. Ini dinyatakan dengan rasmi oleh Tengku Adnan Mansur selaku Setiausaha Agung Umno," katanya.

Beliau menyifatkan tindakan itu sangat berbahaya kepada generasi muda dan negara kerana berkemungkinan mereka akan mencedok idea daripada Parti Komunis China untuk digunakan dalam Umno.

"Bukankah tindakan ini merbahaya kepada generasi muda Umno? Apakah modal lapok perkauman dan bangsa sudah tidak relevan sehingga hendak pergi mengemis dengan Parti Komunis China untuk mendapat idea baru dalam Umno.

"Rakyat mesti memandang ini adalah perkara yang merbahaya kepada negara jika perkara ini berterusan terutama kepada generasi muda, kerana Umno hendak hantar orang muda pergi belajar dengan Parti Komunis China," katanya.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5359-mou-kenapa-umno-mahu-mengemis-idea-cpc

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...